Polis Ampang Jaya serbu premis lombong bitcoin

Sinar Harian
Mei 13, 2022 06:30 MYT
Mohamad Farouk berkata hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima premis tersebut tiada penghuni dan beroperasi menggunakan sambungan elektrik secara haram. - Foto fail/BERNAMA
AMPANG: Polis menyerbu lima buah premis di sebuah kondominium di sini kerana dipercayai menjalankan kegiatan 'perlombongan' mata wang digital bitcoin secara haram, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 89 unit melombong bitcoin.
"Kami turut merampas tiga set komputer, sembilan unit modem, router, 38 unit penapis udara dan pelbagai wayar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.
Mohamad Farouk berkata, serbuan tersebut dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima premis tersebut tiada penghuni dan beroperasi menggunakan sambungan elektrik secara haram. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Bitcoin #kondominium #Mohamad Farouk Eshak #sambungan elektrik haram
;