Polis ambil keterangan staf Malaysiakini berhubung kenyataan Nurul Izzah

Bernama
November 9, 2012 01:30 MYT
Polis mengambil keterangan tiga pegawai portal berita pro-pembangkang Malaysiakini berhubung laporan berita berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata ia dilakukan atas perintah Majistret Petaling Jaya dan keterangan diperlukan untuk mengenal pasti penulis artikel itu.
"Setakat ini identiti penulis artikel belum diperolehi," .
Keterangan petugas Malaysiakini itu diambil di pejabat portal berita berkenaan di Bangsar di sini antara 5.15 petang dan 6.55 petang.
Ia melibatkan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya diketuai Pegawai Penyiasat ASP Nadzri Harun serta unit forensik IPD Cheras.
Laporan portal berita pro-pembangkang pada Nov 3 itu memetik Nurul Izzah sebagai berkata, "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu."
Nurul Izzah dipetik berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya.
#agama #Malaysiakini #Nurul Izzah