Polis ambil keterangan saksi jumpa mayat dikerat 5, disumbat dalam beg
Astro Awani
Januari 18, 2023 23:40 MYT
Januari 18, 2023 23:40 MYT
SUNGAI BULOH : Polis sudah merakam keterangan seorang saksi berhubung penemuan mayat yang dikerat lima dan disumbatkan ke dalam sebuah beh hitam di kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan, di sini Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, rakaman percakapan saksi yang merupakan orang awam yang menemukan mayat itu diambil kira-kira pukul 4.30 petang Selasa.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa merupakan lelaki warga asing dan punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat senjata tajam.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti sebenar si mati," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain anggota badan di dalam bagasi, badan mayat pula ditemukan tidak jauh dari lokasi bagasi tersebut yang didakwa dicampak ke dalam longkang.
Penemuan mayat itu terbongkar selepas orang awam yang melalui kawasan itu menghubungi polis, kira-kira pukul 11.45 pagi Selasa.
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh di sebuah lokasi berasingan sebelum mayatnya dipercayai dicampak di situ.