Polis ambil keterangan exco P.Pinang berhubung pameran kartun Zunar

Bernama
November 28, 2016 22:00 MYT
Abdul Malik (kiri) mengakui tidak tahu tujuan polis merakam kenyataannya dan memaklumkan soal siasat itu dijalankan bagi mengetahui kaitannya dengan penganjuran pameran lukisan kartun oleh Zunar. - Foto Astro AWANI
Polis merakam percakapan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim berhubung penganjuran pameran lukisan oleh kartunis Zunar Jumaat lalu.
Dua anggota polis tiba di pejabat Abdul Malik yang terletak di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) kira-kira jam enam petang Isnin sebelum dilihat meninggalkan pejabat tersebut setengah jam kemudian.
Abdul Malik mengakui tidak tahu tujuan polis merakam kenyataannya dan memaklumkan soal siasat itu dijalankan bagi mengetahui kaitannya dengan penganjuran pameran lukisan kartun oleh Zunar baru-baru ini.
“Mereka menjalankan tugas mereka untuk mengambil kenyataan saya berkenaan kes Zunar. Tanya macam-macam, berkaitan dengan Zunar. Apa kaitan saya dengan pameran Zunar. Saya tidak tahu sebab apa mereka datang ambil keterangan saya., seperti prosedur biasa, mereka nyatakan beberapa seksyen,” kata Abdul Malik ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid mengesahkan bahawa polis mengambil keterangan Abdul Malik yang bertindak sebagai penganjur program berkenaan.
Pameran lukisan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang diadakan secara terbuka di tingkat 3, bangunan Komtar di George Town pada Jumaat terpaksa dihentikan selepas berlaku kekecohan.
Kekecohan berlaku selepas sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan pameran yang didakwa berbaur hasutan sebelum mendesak kartunis itu menurunkan lukisan terbabit.
Zunar bagaimanapun ditahan polis sehari kemudiannya ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung penganjuran pameran berkenaan.
Dia kemudiannya direman sehari untuk siasatan mengikut sek 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 504 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Ahad.
#Abdul Malik Abul Kassim #akta hasutan #kartunis Zunar #pameran kartun #Peguam Ram Karpal Singh #Tahanan reman
;