Polis ambil keterangan ADUN Kijal

Astro Awani
November 20, 2023 00:14 MYT
Razali dilaporkan telah membuat kenyataan bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan dengan menyifatkan keputusan oleh institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris telah dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Chukai, berhubung kenyataan bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain menjelaskan Razali disiasat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Razali dilaporkan telah membuat kenyataan bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan dengan menyifatkan keputusan oleh institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan.
"Kenyataan tersebut dipercayai dibuat semasa majlis pelancaran jentera pilihan raya PRK 040 di Kemaman pada 10 November lalu.
"Petikan ucapan ADUN Kijal tersebut kemudiannya telah ditularkan oleh pengedali akaun TikTok @Wancin11 sekitar 14 Nov lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.
Beliau menjelaskan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, kes masih di peringkat siasatan dan PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan.
"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," katanya.
#PDRM #PRK Kemaman #kehakiman #ADUN Kijal
;