Polis akui berlaku peningkatan rampasan mercun

Muhafandi Muhamad
April 14, 2022 08:50 MYT
Shafien berkata permintaan itu tinggi maka pembekal cuba sedaya upaya untuk bawa masuk bahan itu. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Berlaku peningkatan kes membabitkan rampasan mercun dan bunga api yang dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan haram di sempadan.
Perkara itu diakui polis Kelantan susulan permintaan mercun dan bunga api yang tinggi menjelang musim Hari Raya akan datang.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ia juga didorong keadaan sambutan Hari Raya pada tahun ini yang bakal diraikan oleh umat Islam tanpa sekatan pergerakan seperti tahun sebelumnya.
"Permintaan itu tinggi maka pembekal cuba sedaya upaya untuk bawa masuk bahan yang seperti mana kita rampas.
"Saya tegaskan bahawa pasukan keselamatan sentiasa memantau mengumpul maklumat, kita tidak boleh kompromi dengan aktiviti ini," katanya.
Shafien berkata sepanjang awal Ramadan hingga Rabu, polis Kelantan merekodkan 10 kes rampasan mercun dan bunga api dengan nilai hampir RM500,000.
Melalui risikan dan pengawasan, pihaknya merampas barangan terlarang itu sehingga ada kes tangkapan yang dilakukan hampir di sempadan Kelantan-Terengganu dan sebagainya.
Jelasnya, pihaknya mempunyai kekuatan keanggotan mencukupi dalam mengekang aktiviti penyeludupan bahan berkenaan.
#mercun #bunga api #rampasan #sempadan
;