Polis akan siasat sama ada wujud unsur pemerdagangan manusia
Fareez Azman
Februari 20, 2019 13:59 MYT
Februari 20, 2019 13:59 MYT
Polis akan menyiasat sama ada wujud unsur jenayah pemerdagangan manusia terhadap penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, ketika ini siastan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Langkah pertama kita nak tahu apa cerita sebenarnya bagaimana mereka terlibat ini dibawa masuk ke sana. Apa yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan yang menawarkan perkhidmatan kepada mereka. Sama ada wujud unsur penipuan, dorongan, tipu daya atau tidak.
“Kalau ini tidak dipenuhi ia diklasifikasikan sebagai kesalahan memperdagangkan manusia. Syarikat dan sindiket dari negara kita itu bertindak mengumpul pekerja dan mungkin dia (syarikat) bekerja dengan sindiket di sebelah sana yang menerima pekerja ini,” jelas Noor Rashid.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat berkenaan syarikat terbabit.
Ujarnya, beberapa mangsa yang juga saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan sejurus mereka pulang.
Ketika diminta mengulas lanjut berhubung kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah pada Selasa, yang mendakwa beberapa warga tempatan dikenal pasti dan dipercayai terlibat dalam sindiket itu, Noor Rashid menjelaskan siasatan masih di peringkat awal.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.