Polis akan siasat kesahihan surat amaran serangan anggota IS oleh KLM
Astro Awani
Januari 31, 2015 17:52 MYT
Januari 31, 2015 17:52 MYT
Polis sedang menyiasat kesahihan satu surat amaran bahaya yang didakwa dikeluarkan oleh syarikat penerbangan Belanda, Royal Dutch Airlines (KLM) tentang satu kemungkinan serangan oleh anggota pejuang IS di Malaysia.
Memetik laporan The New Straits Times, Kementerian Dalam Negeri dan polis hari ini menolak kemungkinan berlaku ancaman keganasan seperti yang didakwa dikeluarkan oleh KLM itu.
Surat itu tersebar di laman media sosial sejak dua hari lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Malaysia adalah selamat dan amaran berkenaan tidak mempunyai asas.
Surat berkenaan mempunyai ‘masthead’ KLM Security Services dan memberi amaran kepada anak-anak kapal dan kakitangannya untuk mengelak tempat awam, pengangkutan awam dan "tidak membuat apa-apa komen mengenai IS."
Salinan amaran yang telah diedarkan secara meluas di media sosial dan WhatsApp.
Amaran itu bertarikh 6 Januari dan dianggap sah sehingga 2 Februari.