Polis akan siasat kemungkinan wujud sindiket pelacuran di Pulau Pinang

Astro Awani
Disember 11, 2015 20:20 MYT
Pada Khamis, tujuh wanita warga asing ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di Pulau Pinang. - Foto Astro AWANI
Pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kemungkinan wujud sindiket pelacuran membabitkan golongan pelajar antarabangsa di Pulau Pinang yang didalangi warga tempatan berikutan penahanan tujuh wanita asing di negeri itu pada malam Khamis.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A Thaiveegan, berkata, jika benar dakwaan itu, pihak polis tidak akan berkompromi dan sedia membantu pihak Imigresen mengesan dalang yang terlibat dengan sindikit berkenaan.
“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan oleh pihak Imigresen. Apabila mereka habis siasatan, pihak Imigresen akan rujuk kepada pihak polis.
“Pihak polis akan teruskan (siasatan) kalau dakwaan ini benar dan jika pihak Imigresen merujuk kepada kami,” ujar Thaiveegan sewaktu ditemui media pada majlis Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita Piala Ketua Polis Pulau Pinang di sini.
Beliau mengulas tindakan sindiket pelacuran didalangi warga tempatan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi melakukan aktiviti pelacuran membabitkan pelajar antarabangsa.
Pada Khamis, Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan tujuh wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelacur dalam satu serbuan di George Town.
Siasatan awal mendapati kesemua wanita yang berasal dari Nigeria dan Uganda itu bergiat aktif menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tempatan di hotel bajet di negeri itu sejak beberapa bulan lepas.
Pihak Imigresen percaya wanita terbabit berkemungkinan terlibat dengan sindiket pelacuran pelajar antarabangsa yang didalangi warga tempatan.
#pelajar antarabangsa #pulau pinang #sindiket pelacuran
;