Polis akan pantau pesalah seksual, Selva Kumar Subbiah, sebaik tiba di tanah air
Rahimah Abdullah
Februari 4, 2017 12:32 MYT
Februari 4, 2017 12:32 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil dan menemu bual perogol bersiri warga Malaysia, Selva Kumar Subbiah yang telah menjalani hukuman penjara di Kanada, sebaik sahaja lelaki itu tiba di tanah air.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ia adalah antara langkah awal dilakukan PDRM dalam mengatasi keresahan dan kerisauan masyarakat berhubung kepulangan pesalah seksual berkenaan.
"Kita hendak mengenal individu ini sendiri iaitu kita hendak buat penilaian. Kita mahu berjumpa dengan dia dan pada masa sama kita akan cuba mendapatkan latar belakangnya daripada pihak polis Kanada.
“Kita hendak tahu di mana dia tinggal supaya kita senang ambil apa jua tindakan apabila tiba masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat latihan Kadet Inspektor Siri 1/2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Beliau pada masa sama, mengakui tentang kebimbangan masyarakat berhubung kepulangan Selva Kumar, dan akan memastikan pesalah berkenaan akan sentiasa dipantau pihak berkuasa.
"Dia telah menerima hukuman, kita kena terima hakikat itu. Maknanya, dia balik ke Malaysia (kerana) dia ada hak mengikut Perlembagaan sebagai rakyat Malaysia.
“Walau bagaimanapun, oleh kerana dia mempunyai rekod tidak baik dan menimbulkan rasa ketakutan dalam kalangan rakyat Malaysia, maka, PDRM sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab atas keselamatan dan menguruskan keresahan rakyat, maka kita pertamanya kita akan menemu bualnya,” tambahnya.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang tingkah laku yang mengundang syak wasangka masyarakat, beliau menggalakkan mereka terus berhubung dengan polis.
“Namun, saya nak ingatkan dia sudah menjalani hukuman, dia berhak untuk hidup seperti orang biasa. Saya harap dia telah insaf setelah menjalani hukuman yang begitu lama,” katanya lagi.
Ditanya sama ada polis akan memasang peranti pada badan atau lokasi Selva Kumar, Noor Rashid menjelaskan, tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan lelaki berkenaan sudah dijatuhi hukuman.
"Tidak boleh (pasang peranti) sebab setakat ini dia telah menjalani hukuman dia. Memang kita ada pasang peranti tetapi hanya pada mereka yang di bawah undang-undang yang ada. Sekarang dia telah dijatuh hukum dan keluar menjadi rakyat biasa," ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu bimbang dengan perkara itu kerana polis akan menjalankan tugas dengan sebaiknya berlandaskan undang-undang yang ada.
"Kita akan terus berhubung, berdamping, selalu berkomunikasi dengan Selva Kumar supaya dia tidak akan mengancam keselamatan masyarakat. Kita (polis) lebih risau daripada masyarakat sebenarnya," tambahnya.
Subbiah, 56, didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap hampir 1,000 wanita di Kanada bakal dihantar pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 24 tahun di negara itu.