Polis akan panggil Ahli Parlimen pembangkang terbabit perhimpunan - Bukit Aman

Nickyson Nyambar
Ogos 3, 2021 15:58 MYT
Acryl Sani mengesahkan polis menerima sebanyak 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam satu kenyataan pada Selasa malam berkata, pihaknya menerima 206 laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan.
Katanya semua Ahli Parlimen yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan.
"Kes berkenaan akan disiasat di bawah kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293], Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan juga Seksyen 9[5] Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736].
"PDRM akan memanggil individu-individu terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Perarakan Ahli Parlimen Pembangkang dihalang
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Ini kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat sejak 26 Julai 2021
Ujar beliau, pihaknya sebelum ini telah mengambil maklum berkenaan dengan arahan Setiausaha Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya diadakan pada Isnin lalu ditangguhkan ke suatu tarikh baharu, susulan penilaian semasa risiko jangkitan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau juga mengesahkan telah menerima maklumat pada 1 Ogos 2021 berkenaan dengan perhimpunan yang akan diadakan di kawasan Parlimen sehari kemudian.
"Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada Sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk Ahli-Ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen.
[
INFOGRAFIK] Kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat
"Maka PDRM telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan diadakan.
"Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293] bertarikh 4 Julai 2021 yang mana berhimpun dan berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut menyeru kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan berkenaan untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.
#Ahli Parlimen Pembangkang #perhimpunan #Mesyuarat Khas Parlimen #Bantahan #protes #berhimpun #laporan polis #Bukit Aman #Dataran Merdeka #Parlimen