Polis akan mohon sambung reman suspek kes bunuh Nur Farah Kartini

Bernama
Julai 18, 2024 09:45 MYT
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan masih lagi di peringkat awal dan terdapat banyak aspek yang belum diselesaikan. - Gambar fail/Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon untuk melanjutkan reman anggota polis disyaki terlibat kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang tamat Isnin depan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata ini susulan siasatan masih lagi di peringkat awal dan terdapat banyak aspek yang belum diselesaikan.
Semalam media melaporkan 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu termasuk rakan Allahyarham dan rakan sekerja suspek.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.
Susulan itu, polis menahan seorang anggota polis berusia 26 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hari ini jenazah Nur Farah Kartini dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.
-- BERNAMA
#suspek kes bunuh #Nur Farah Kartini Abdullah #reman disanbung #Hussein Omar Khan