Polis akan ambil keterangan ibu-bapa kanak-kanak mati dalam kereta
Bernama
Julai 20, 2013 15:32 MYT
Julai 20, 2013 15:32 MYT
Polis akan mengambil keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak perempuan yang mati akibat kelemasan setelah ditinggalkan tanpa sengaja di dalam kereta di Subang Jaya pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata rekod bertulis belum diambil kerana ibu bapa kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan trauma ekoran kejadian itu.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan, katanya kepada Bernama.
Seksyen ini memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian itu, Nawal Iris Samsudin, 3, ditinggalkan selama lebih lima jam di dalam kereta ibunya di bawah panas terik di tempat letak kereta sebuah sekolah menengah di USJ4.
Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang menunjukkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat 'heat stroke'.