Polis akan ambil keterangan 6 wartawan masuk MAEPS tanpa kebenaran - Arjunaidi

Fareez Azman
Julai 28, 2021 17:28 MYT
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata siasatan awal mendapati tiada kebenaran diberikan terhadap kesemua pengamal media itu untuk memasuki PKRCB, MAEPS di Serdang pada Isnin lalu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan enam wartawan yang memasuki Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB), MAEPS di Serdang ketika membuat liputan Gerakan Hartal Doktor pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, siasatan awal mendapati tiada kebenaran diberikan terhadap kesemua pengamal media itu untuk memasuki kawasan larangan berkenaan pada hari kejadian.
"Yang dijalankan siasatan adalah ke atas isu pencerobohan yang berlaku di MAEPS. Yang mana kita telah diberitahu bahawa pada tarikh tersebut, enam wartawan telah masuk ke MAEPS yang merupakan satu kawasan diisytiharkan tempat pusat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit.
"Tempat itu sepatutnya tidak boleh dimasuki dan tempat larangan, sesiapa juga nak masuk ke tempat berkenaan perlu mendapat kebenaran daripada pengurusan MAEPS.
"Jadi enam wartawan ini telah masuk ke tempat tersebut. Dia ada tiga zon, zon hijau, kuning dan merah, ketiga-tiga zon adalah tempat larangan bukan boleh masuk sembarangan," jelasnya dalam sidang media secara dalam talian pada Rabu.
BACA: #HartalDoktorKontrak: Polis bukan siasat doktor tapi pengamal media
Beliau berkata, kesemua pengamal media itu akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, pihak polis tidak pernah menghalang kebebasan media, namun tidak akan membenarkan wartawan memasuki kawasan berbahaya.
"Memang media kita berikan kebebasan, tidak pernah menyekat kebebasan media. Tapi kita tak benarkan media masuk (kawasan berbahaya).
"Ia ibarat bunuh diri di tempat itu, tempat itu berbahaya. Kalau tempat itu ada tempat berbahaya, menjadi tanggungjawab kita menjaga keselamatan rakyat jelata," tegas Arjunaidi lagi.
Berhubung kawalan keselamatan pula, jelasnya, anggota polis turut ditempatkan di kawasan luar MAEPS dan bukannya di dalam.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed memaklumkan, polis hanya hanya merakam keterangan 17 jururawat dan doktor PKRCB MAEPS Serdang berhubung pencerobohan itu.
Sumber Facebook PolisSelangor
#COVID-19 #PKRCB #Maeps #Gerakan Hartal Doktor #kuarantin #pengamal media #wartawan #PDRM #siasatan #pencerobohan #Ketua Polis Selangor #arjunaidi mohamed
;