Polemik 'I Want To Touch A Dog': Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah

Amidi Abd Manan
Oktober 23, 2014 22:55 MYT
Program 'I Want to Touch a Dog' merupakan program ulangan. - Foto Fail
Program ‘I Want To Touch A Dog’ merupakan program ulangan.
Satu perdebatan berkaitan dengan perihal jilatan anjing telah berlaku di negeri Kelantan pada tahun 1937. Perselisihan pandangan atau pendapat ini bermula dengan Hj. Nik Abdullah b. Hj. Wan Musa, seorang ulama muda ketika itu yang kemudiannya diteruskan oleh ayahandanya Hj. Wan Musa b. Hj.Abdul Samad yang pernah menjadi Mufti Kelantan dari 1908 hingga 1916.
Perbezaan ini bermula dari tahun 1936, apabila Hj. Nik Abdullah dipanggil oleh raja Kelantan ketika itu YM Tengku Ibrahim ibnu Sultan Muhammad IV ke istana bagi meminta pandangannya berkaitan hasrat baginda untuk memelihara anjing. Hj. Nik Abdullah menjawab jika ada keperluan seperti menjaga keselamatan maka ia adalah diharuskan.
Berkaitan perihal jilatan anjing pula beliau memberikan dua pandangan menurut mazhab Maliki dan Mazhab Syafie.
Beliau menyatakan jika terdapat lebih dari satu pandangan maka diperbolehkan untuk umat Islam beramal dengan mana-mana pandangan tersebut. Pandangan ini sampai kepada Hj. Ibrahim b. Hj. Yusof yang merupakan Mufti Kelantan ketika itu.
Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Hj. Nik Abdullah yang mahukan agar rakyat Kelantan beramal menurut Imam Syafie dan disokong oleh beberapa ulama’ lain seperti Hj. Ahmad Mahir b. Hj Ismail, Hj. Abdullah Tahir b. Hj. Ahmad dan lain-lain lagi. Umur Hj. Nik Abdullah tidak panjang. Beliau meninggal tak lama selepas itu.
Ayahnya yang merupakan bekas Mufti Kelantan, meyakini kebenaran pandangan anaknya bertindak mempertahankan pandangan anaknya dalam kuliah-kuliah pengajian yang dikendalikannya.
Pertelingkahan ini berpanjangan dan semakin membesar dalam masyarakat sehingga menarik perhatian Sultan Kelantan ketika itu iaitu DYMM Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV.
Baginda memanggil kedua-dua belah pihak ke Istana Jahar untuk mendapatkan persepakatan dan seterusnya menghentikan polemik yang sedang hangat dalam masyarakat Kelantan. Usaha baginda menemui jalan buntu dan gagal mendapat persepakatan pihak-pihak yang berselisih pandangan. Masyarakat terus dengan polemik berkaitan perihal jilatan anjing ini.
Usaha pihak istana tidak terhenti disitu, YM Tengku Ibrahim merancang untuk membuat satu perdebatan berkaitan hal ini yang melibatkan lebih ramai ulama’ di Istana Sri Cemerlang.
Perdebatan itu turut melibatkan Hj. Abas Taha (Kadi Besar Singapura) dan Dr. Burhanudin al-Helmi (S/U majlis Ulama’ Singapura), yang menyebelahi Hj. Wan Musa.
Sultan Ismail bertindak sebagai hakim. Namun seperti sebelumnya, Sultan Ismail tidak dapat membuat keputusan dan menyerahkan kepada rakyat untuk beramal dengan mana-mana pandangan yang diperdebatkan. Sekembalinya dari perdebatan itu Hj. Abas Taha menulis satu kitab yang berjudul Risalah Penting, yang mengumpulkan pandangan ulama’ yang menyokong pendapatnya termasuklah Mufti Mesir seperti yang dicatatkan Maulana al-Sheikh al-Marori.
Tidak cukup setakat itu, Raja Kelantan, Tengku Ibrahim turut menghantar tiga soalan kepada Sheikh al-Azhar ketika itu Syed Mohd. Mustapha al-Maraghi, yang menyokong pendapat Hj. Nik Abdullah. Jawapan tersebut telah diterima pada 1 April 1937.
Jelas dicatatkan dalam sejarah, orang Melayu telah berbincang berkaitan hal ini kira-kira 90 tahun yang lalu. Oleh itu hasrat saudara Syed Azmi al-Habshi selaku penganjur program ‘I Want to Touch A Dog’ tidak lebih dari sekadar mengulang kisah lama.
Jika mahu diukur dari sudut keupayaan dan potensi terhadap impak menukar persepsi orang Melayu khususnya terhadap makhluk Allah yang kita namakan sebagai anjing, jelas perdebatan tahun 1937 jauh lebih berupaya kerana melibatkan istana dan kelompok ulama’ berpengaruh.
Natijahnya, tiada pun keluarga Hj. Nik Abdullah yang memelihara anjing sehingga kini dan masyarakat Melayu terus kekal sebagaimana asalnya. Oleh itu, ia merupakan polemik yang sia-sia dan tidak membawa perubahan dalam masyarakat.
Begitu juga dengan ulama’ Melayu dahulu, tidak pula melabelkan Haji Nik Abdullah dan ayahandanya Hj. Wan Musa sebagai tokoh liberalis kerana perbezaan pandangan feqah dalam hal ini. Mereka boleh berlapang dada kerana itulah sikap yang dituntut kepada seorang ulama’.
Jika perdebatan ini diperpanjang, maka kekeliruan akan bertambah teruk. Pertembungan akan semakin parah sehingga boleh menjejaskan kesatuan umat Islam di Malaysia.
Jika ia berpunca dari kekeliruan, kejahilan dan salah tanggapan, maka yang diperlukan adalah pendidikan dan penjelasan, bukan kutukan dan sindiran yang menyakitkan hati. Kembalilah kita kepada asas kesejahteraan ummah iaitu dakwah. Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah.
AMIDI BIN ABDUL MANAN ialah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia.
#I Want To Touch A Dog #memelihara anjing #Polemik
;