Polemik Ashabul Kahfi berpunca faktor istilah

Sinar Harian
Disember 24, 2023 11:25 MYT
Wan Salim berkata, disebabkan istilah Kristian maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi respons dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Isu al-Kahfi tidak sepatutnya menjadi polemik yang membingitkan sekiranya ia ditangani dengan tenang dan dinilai dengan hati yang jernih dan niat yang ikhlas untuk menemui kebenaran.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, disebabkan istilah Kristian maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi respons dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik.
Menurutnya, punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah Kristian yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi.
"Bagi mereka yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah nabi-nabi A.S. maka sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu ini secara jelas.
"Ia sebenarnya berkait dengan akidah tauhid yang diyakini oleh tujuh pemuda yang berlindung di dalam sebuah gua demi untuk memelihara dan mempertahankan keyakinan tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan Timur Tengah pada masa itu berada di bawah pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium, sedangkan agama empayar ini adalah Paganime.
Katanya, para ulamak tafsir dan ahli-ahli sejarah berbeza pandangan tentang zaman kejadian ini.
"Ramai yang berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran Baginda.
"Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula tentang agama mereka. Jika peristiwa ini berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian.
"Begitu sebaliknya jika peristiwa ini berlaku setelah Nabi Isa lahir maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama beliau Jesus Christ menurut sebutan orang Barat," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, perlu diketahui daripada perspektif Islam, sekalian Rasul Allah adalah menyeru kepada agama yang sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum, menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah tauhid (kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa).
Namun begitu, Wan Salim berkata, dalam perjalanan sejarah yang lama maka berlakulah penyelewengan terhadap ajaran Tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi tersebut.
Jelasnya, merujuk secara khusus kepada agama Kristian, penyelewengan daripada akidah tauhid bermula dengan Persidangan Nicean yang berlangsung di bandar Nicea di Asia Kecil (Turki kini) pada tahun 325 Masihi.
"Di situ Emperer Konstantin telah mempengaruhi keputusan persidangan tersebut dengan tujuan untuk kompromi antara agama Kristian dengan fahaman Pagan yang menjadi agama rasmi pemerintahan Rom Timur ketika itu.
"Maka mulai saat itu berubahlah akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa lalu menjadi doktrin Triniti seperti yang dipegangi oleh para penganut agama Kristian sehingga ke zaman kini," jelasnya. - Sinar Harian
#Ashabul Kahfi #Anwar Ibrahim #Kristian #penjelasan sebenar
;