Polemik agama, kaum semakin kurang sejak gagasan Keluarga Malaysia diperkenal - PM
Bernama
Oktober 8, 2022 00:19 MYT
Oktober 8, 2022 00:19 MYT
JEMPOL: Polemik berkaitan agama dan kaum semakin berkurangan setelah gagasan Keluarga Malaysia diperkenal sejak lebih setahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata menerusi perkembangan positif itu, kerajaan boleh memfokus kepada usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara pasca COVID-19 manakala rakyat boleh memberi perhatian untuk meningkatkan ekonomi mereka.
"Untuk pastikan kestabilan politik, saya perkenalkan slogan Keluarga Malaysia, kita hidup bersama dan tiada rakyat dipinggirkan dari segi kemajuan sama ada ekonomi dan sebagainya... Melalui Keluarga Malaysia, kita dah kurang dengar tentang polemik agama dan kaum.
"Jadi kita tidak tumpukan kepada perkara yang tidak penting seperti masalah perkauman, agama dan sebagainya. Kesan daripada kestabilan politik itu, ekonomi Malaysia berkembang dari semasa ke semasa," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jamuan Makan Malam Keluarga Malaysia yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Menyentuh mengenai ketidakstabilan politik ketika di awal pentadbiran beliau, Perdana Menteri berkata keadaan itu juga menjadi perkara utama untuk diselesaikannya memandangkan isu tersebut turut menjejaskan ekonomi negara.
"Bayangkan tidak pernah berlaku dalam sejarah satu penggal (Parlimen) tiga PM (Perdana Menteri)...sebab itu usaha menyelesaikan masalah ketidakstabilan politik perlu dilakukan.
"...saya jumpa kepimpinan pembangkang untuk bersama-sama mempersetujui dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) demi kestabilan politik dan kesannya Parlimen kini dalam keadaan semakin reda daripada 'kepanasan' dan tidak bergaduh hari-hari seperti dulu," katanya.
Beliau berkata keadaan antara Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang turut dilihat semakin baik apabila mereka dengan mudah bersetuju meminda beberapa Perlembagaan Persekutuan seperti Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
Ismail Sabri juga berkata ketika mengambil alih kerajaan, beliau perlu menyelesaikan isu COVID-19 yang ketika itu masih 'mengganas' menyebabkan rakyat terpaksa tinggal di rumah sekali gus ekonomi turut terkesan.
"Ini bermakna kita akan hadapi masalah yang sangat besar sebab itulah tugas pertama adalah pastikan COVID-19 dapat diatasi.
"Alhamdulillah, setelah beberapa bulan COVID-19 dapat dikurangkan dan sektor ekonomi serta sempadan negara dibuka semula," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata beliau akan mencadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya untuk membina lebuh raya yang menghubungkan Paroi dengan Serting di Negeri Sembilan bagi memudahkan orang ramai.
"Insya-Allah, kalau saya menang dan masih menjadi Perdana Menteri, saya juga akan pastikan pejabat Imigresen dibuka di Jempol, jadi rakyat tak perlu ke Seremban untuk buat dan perbaharui pasport.
"Insya-Allah, apa yang dipohon tadi akan diberi perhatian sebaiknya," kata beliau.
-- BERNAMA