Pokok tumbang: Wanita Sweden dipercayai penumpang e-hailing cedera

Sinar Harian
Mei 7, 2024 19:19 MYT
Pihak DBKL melakukan tugas pembersihan susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini pada Selasa dipercayai pemandu e-hailing dan penumpang warga Sweden.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nazron Abd Yusof berkata, insiden kira-kira jam 2 petang itu melibatkan 17 kenderaan pelbagai jenis yang dihempap pokok terbabit.
Katanya, sebuah kenderaan yang dihempap melibatkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
"Ada dua lagi mangsa telah dibawa ke HKL melibatkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Sweden yang berkemungkinan besar ialah pemandu dan penumpang e-hailing," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Menurutnya, tindakan telah diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkan kawasan itu.
"Laluan akan ditutup sepenuhnya untuk tindakan pembersihan dan akan dibuka semula selepas selesai sepenuhnya," ujarnya.
Tambahnya, pihak polis juga menyarankan pemilik kenderaan dan mangsa yang cedera untuk tampil membuat laporan bagi tindakan lanjut.
"Polis juga akan dapatkan saksi kejadian selain mengesan ahli keluarga mangsa yang maut," katanya.
Operasi di lokasi kejadian turut melibatkan kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Sinar Harian
#Pokok tumbang #Jalan Sultan Ismail #mangsa cedera #warga sweden
;