Pokok tumbang: Mangsa lelaki dibenar keluar hospital, warga Sweden masih dirawat

Bernama
Mei 8, 2024 16:00 MYT
Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail semalam yang meragut satu nyawa, dengan dua yang lain cedera. -Gambar fail/ihsan pembaca
KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua individu yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam, telah dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Naazron Abd Yusof berkata lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu e-hailing dibenarkan keluar pada 6 pagi, manakala penumpangnya iaitu seorang wanita warga Sweden berumur 72 tahun masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian itu kekal dua orang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Naazron berkata setakat ini, polis menerima 18 laporan berhubung kerosakan kenderaan akibat kejadian yang dipercayai berlaku pada 2.19 petang semasa hujan lebat dan angin kuat.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang pemandu peribadi Md Rizal Atan, 47, maut selain menyebabkan gangguan perkhidmatan monorel selepas dahan pokok yang berusia lebih 50 tahun itu turut menimpa landasan pengangkutan awam itu.
-- BERNAMA
#Pokok tumbang #pemandu e-hailing #wanita warga Sweden #Jalan Sultan Ismail
;