Pokok tumbang KLCC: Insiden tidak sepatutnya dianggap kemalangan 'luar biasa'

Media Statement
Mac 5, 2018 20:31 MYT
PBT juga harus mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik untuk memastikan pokok-pokok mereka sihat dan selamat dan tidak akan tumbang atau gugur dahannya terutama dalam keadaan cuaca buruk. - Sumber foto itisTrafikDBKL
INSIDEN pasangan suami isteri cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka dihempap pokok di hadapan Menara Berkembar Petronas KLCC pagi tadi (5 Mac) seharusnya menjadi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang keperluan untuk mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik.
Kejadian yang berlaku berhampiran bangunan ikonik Malaysia kira-kira pukul 7.45 pagi itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sepanjang Jalan Ampang.
Insiden tersebut tidak sepatutnya dianggap sebagai kemalangan “luar biasa” kerana kes serupa telah beberapa kali dilaporkan sebelum ini.
BACA: Dua orang awam cedera, pokok tumbang di Jalan Ampang
Pada 4 Mei 2017, seorang pelajar Tingkatan Lima terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya ditimpa dahan pokok di Jalan Ayer Molek, Melaka manakala pada 12 Oktober 2014 pula, dua orang anggota polis terbunuh apabila sebatang pokok tumbang di atas pondok kawalan polis di Kampung Attap, Kuala Lumpur semasa kejadian ribut petir.
Insiden terbaharu ini sekali lagi membuktikan bahawa keselamatan awam tidak diambil berat meskipun ada kejadian maut sebelum ini.
Kebimbangan dan cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak mengenai keperluan untuk memantau dan memeriksa tahap keselamatan pokok tua di kawasan bandar juga tidak diberi perhatian secukupnya.
Sebelum ini saya telah mencadangkan supaya semua PBT, terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memastikan pokok-pokok yang berada di bawah bidang kuasa mereka tidak membahayakan orang ramai, terutamanya ketika hujan lebat dan ribut petir.
Ini penting kerana di bawah inisiatif “Greener KL”, DBKL telah mensasarkan untuk menanam 30,000 pokok setiap tahun selain mengekalkan pokok-pokok sedia ada.
Saya percaya dengan perancangan yang betul, teknologi terkini dan nasihat daripada agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan pakar-pakar pokok lain, kita dapat memastikan pokok-pokok tua yang menghiasi jalan-jalan utama dapat dikekalkan apabila diuruskan dengan betul dan selamat.
Semua PBT juga perlu menubuhkan sebuah jabatan atau unit khas untuk memastikan pokok-pokok di bawah seliaan mereka sentiasa diperiksa dan dipotong supaya tidak menghalang lampu isyarat, tanda jalan dan kemudahan awam lain.
Pokok-pokok dan tumbuhan yang menghalang papan tanda jalan raya sudah tentu akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya dan pejalan kaki yang melalui laluan tersebut.
Bagi PBT yang sudah mempunyai unit khusus seperti itu, mereka perlu memantapkannya dengan memastikan ia mempunyai inventori penuh pokok di bawah bidang kuasa mereka termasuk menggunakan pangkalan data dalam talian.
Dilaporkan bahawa Jabatan Landskap Negara telah membangunkan sistem e-landskap yang dapat membantu PBT menguruskan inventori pokok dan penyelenggaraan landskap mereka.
Kita juga perlu meningkatkan kefahaman mengenai penyelenggaraan pokok dalam kalangan PBT kerana tahap kesedaran mengenainya masih rendah pada masa ini.
Terdapat juga keperluan untuk membangunkan kursus secara holistik dan modul yang merangkumi semua jenis kemahiran dalam penyelenggaraan pokok manakala jentera baru harus digunakan untuk menjaga, memindahkan atau menanam semula pokok-pokok terbabit.
PBT juga harus mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik untuk memastikan pokok-pokok mereka sihat dan selamat dan tidak akan tumbang atau gugur dahannya terutama dalam keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat dan ribut.

*Kenyataan ini dikeluarkan oleh Bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye
#Ayer Molek #cedera #Greener KL #Kampung Attap #kemalangan #keselamatan #Malaysia #maut #Melaka #Menaea Berkembar Petronas KLCC #pbt #pelajar #Petronas #polis
;