Pokok tumbang, khemah peniaga musnah akibat angin kencang
Bernama
Jun 2, 2018 09:57 MYT
Jun 2, 2018 09:57 MYT
Ribut kencang di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini pada malam semalam adalah perubahan drastik cuaca berikutan peralihan angin Monsun Barat Daya yang bermula sejak 31 Mei lalu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata dalam kejadian 9 malam itu, pihaknya menerima beberapa laporan kerosakan terhadap peralatan penjaja bazar Ramadan sekitar bandar raya dan di Batu Buruk.
Beliau berkata selain Batu Buruk, ribut kencang juga memusnahkan khemah dan peralatan milik peniaga di Dataran Shahbandar serta Bilik Gerakan APM turut menerima laporan dua kes pokok tumbang di Kampung Atas Tol di sini yang menghalang lalu lintas.
"Mengikut laporan Jabatan Meteorologi, keadaan angin kencang ini dijangka berterusan dua atau tiga hari lagi bermula lewat petang hingga ke malam. Malah cuaca mendung dan hujan ini dijangka berterusan hingga hari-hari terakhir Ramadan atau awal Aidifitri nanti," katanya kepada Bernama hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai agar lebih berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca susulan peralihan monsun itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu Samiun Salleh berkata beliau akan meninjau kerosakan akibat kejadian itu di Pasarnita dekat Tanjung pagi ini.
Beliau berkata Anggota Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan melihat kerosakan yang dialami penjaja dan menyalurkan bantuan mengikut kesesuaian selain meninjau keadaan peniaga dan penjaja kecil sekitar Dataran Batu Buruk dan Dataran Shahbandar.
-- BERNAMA
#angin kencang
#APM
#Batu Buruk
#Bazar Ramadan
#Che Adam A Rahman
#Monsun Barat Daya
#peniaga
#ribut