Pokok tumbang hempap rumah, tujuh sekeluarga terselamat

Adie Sufian Zulkefli
September 16, 2024 11:10 MYT
Anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk operasi pemotongan dahan pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Kuala Temin, Jeneri, Sik, malam tadi. - Foto JBPM Kedah
SIK: Tujuh sekeluarga terselamat apabila rumah mereka dihempap sebatang pokok 'kakho' yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang, di Kampung Kuala Temin, Jeneri, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, kesemua penghuni sempat melarikan diri keluar ke rumah jiran sebaik pokok sebesar pemeluk itu tumbang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 malam.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat pemilik rumah, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga dan saudara yang datang berziarah ketika itu berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
"Mereka kemudian melarikan diri ke rumah jiran dan keadaan mereka selamat.
"Sebuah kereta Perodua Kancil, dua buah motosikal iaitu Modenas dan Honda EX-5 serta sebuah basikal milik anaknya yang berada di dalam garaj tidak mengalami kerosakan.
"Kenderaan itu berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sewaktu operasi pemotongan dahan dan pembersihan dilakukan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Zulkhairi berkata, operasi pemotongan dahan pokok tumbang itu diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan Prak Prem Keu bersama tujuh anggota dari BBP Sik.
Menurutnya, operasi terbabit menggunakan dua unit gergaji berantai bagi memotong dahan untuk mengeluarkan kereta dan motosikal yang terperangkap dalam garaj itu.
"Operasi dilakukan dengan berhati-hati kerana struktur batang pokok yang tidak stabil dan memberi risiko yang tinggi kepada anggota penyelamat.
"Antara halangan lain, pasukan bomba menggunakan tangga jentera bagi memanjat bumbung rumah dan operasi sangat mencabar dalam cuaca hujan dan kerengga hingga operasi selesai sepenuhnya," katanya.
Zulkhairi berkata, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Tambahnya, operasi pemotongan dahan pokok tumbang itu mengambil masa kira-kira sejam dan tamat sekitar jam 10 malam.
"Saya menasihatkan penduduk di daerah ini supaya sentiasa berhati-hati ketika cuaca hujan tidak menentu ini serta angin kencang yang boleh mengakibatkan pokok tumbang.
"Ambil langkah yang wajar dengan melihat kepada persekitaran yang memberi risiko kepada mereka," katanya.
#ribut #Pokok tumbang #rumah dihempap pokok #sik
;