Pokok tumbang hempap lima kenderaan di Genting Highlands

Bernama
September 17, 2024 21:05 MYT
Lima kereta rosak dihempap pokok tumbang di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Genting Highlands, petang tadi. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Lima kereta rosak dihempap pokok tumbang di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Genting Highlands, petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan berkaitan kejadian pada 5.23 petang.
"Pokok itu menghempap tiga kereta dan dua van yang diparkir di belakang bangunan. Pasukan bomba memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
Sementara itu di KANGAR, sebanyak 14 kes pokok tumbang direkodkan di sekitar Perlis susulan ribut kira-kira 6 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kes pertama berlaku di Kampung Guar Medang Gatal pada 6.51 pagi, diikuti beberapa kawasan antaranya Taman Behor Gonchar Jaya, Kuala Sanglang, Kampung Sungai Padang dan Jalan Kaki Bukit.
"Pokok tumbang ini telah menghalang jalan dan menghempap rumah. Kesemua kes berjaya diselesaikan dengan tindakan memotong pokok dan membersihkan kawasan terlibat," katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA
#Pokok tumbang #hempap kenderaan #Genting Highlands #JBPM Pahang
;