Pokok tumbang hempap 2 kereta, pemandu ditemui selamat
Adie Sufian Zulkefli
Mei 16, 2024 19:02 MYT
Mei 16, 2024 19:02 MYT
ALOR SETAR: Dua lelaki terselamat walaupun terperangkap selepas kereta mereka dihempap pokok besar yang tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di sini pada Khamis.
Dua mangsa terbabit, Ismail Yaacob, 61, dan Miswan Shah Dasnir, 38, yang terperangkap dalam dua kereta bersaingan berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Md Esa bersama 12 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Dua buah jentera dan unit motosikal RIM diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi.
"Setibanya di lokasi didapati sebatang pokok tumbang menghempap dua kereta dan pasukan dimaklumkan terdapat dua mangsa berada dalam kenderaan terbabit tetapi berjaya dibawa keluar oleh orang awam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Naufal berkata, pasukannya kemudian melakukan operasi memotong dan membersihkan pokok terbabit serta menghubungi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan lanjut.