Pokok tumbang, bumbung terbang susulan angin kencang dan hujan lebat di P. Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 8, 2022 20:39 MYT
Februari 8, 2022 20:39 MYT
GEORGE TOWN: Hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan di Pulau Pinang menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut.
Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang Selasa itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut Pengerusi Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, menerusi maklumat yang diperoleh daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 16 laporan kejadian pokok tumbang dilaporkan di sekitar negeri itu antaranya di Jalan Zainal Abidin, Jalan Tengku, Bayan Lepas dan Jalan Masjid Negeri.
“Berlaku kejadian pokok tumbang di Jalan Zainal Abidin dan Jalan Tengku, dan menghempap kereta yang diletakkan di situ namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Kejadian ribut itu turut menyebabkan kerosakan bumbung di medan selera di Stadium Mini, Sungai Ara di Jalan Tun Dr Awang dan deretan gerai makan di Taman Abidin di Jelutong,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambahnya, kerja-kerja mengalih dan membersihkan kawasan juga sudah dilakukan pihak MBPP.
Terdahulu, tular di media sosial, gambar-gambar kejadian pokok tumbang dan bumbung tercabut dan diterbangkan angin susulan hujan lebat dan angin kencang yang melanda negeri itu petang tadi.
Turut tular video penunggang motosikal yang memberhentikan motosikal mereka di bahu jalan di Jambatan Pulau Pinang sewaktu angin kencang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri.
Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa tempat di Perak, Selangor, Sabah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak.