Pokok merambong ditanam di pesisir pantai tingkat pendaratan penyu karah

Bernama
November 9, 2022 15:20 MYT
Pokok dari jenis tumbuhan renek itu berupaya menarik tumpuan penyu karah untuk mendarat dan bertelur. - Bernama
ALOR GAJAH: Lebih banyak pokok merambong akan ditanam secara berperingkat di sepanjang pesisir pantai yang menjadi kawasan pendaratan penyu karah di Melaka khususnya di Padang Kemunting, Masjid Tanah di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri Nawar Abd Karim berkata, pokok dari jenis tumbuhan renek itu berupaya menarik tumpuan penyu karah untuk mendarat dan bertelur.
"Penyu karah suka pokok merambong kerana ia sesuai untuk haiwan marin itu bersembunyi daripada sebarang gangguan terutama untuk bertelur apabila naik ke darat dan pokok ini mengeluarkan bau wangi dan mewujudkan persekitaran sejuk untuk penyu berlindung.
"Antara kawasan pendaratan penyu adalah di sekitar pesisir pantai di Alor Gajah terutama di Padang Kemunting kerana kurangnya gangguan dan di sini juga terletaknya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu," katanya kepada pemberita selepas Penutup Program Voluntourism: Tanjung Bidara Beach Clean Up di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Exco Kanan Pelaburan Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sebanyak 300 anak penyu karah yang menetas malam tadi dilepaskan ke laut serta lima pokok merambong turut ditanam di kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Nawar berkata pengunjung di kawasan pesisiran pantai yang melihat pokok merambong berkenaan diminta tidak merosakkan tumbuhan itu kerana ia penting untuk menarik serta meningkatkan kekerapan pendaratan penyu karah ke kawasan itu selain bagi tujuan landskap.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 900 pendaratan atau sarang penyu karah direkodkan di pesisir pantai di Melaka dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dengan purata antara 120 hingga 140 biji telur.
Beliau berkata jumlah pendaratan itu jauh lebih tinggi berbanding tahun lepas yang hanya merekodkan 900 pendaratan sahaja.
"Kami melihat berlaku peningkatan pendaratan penyu karah di Melaka disebabkan beberapa faktor antaranya kesedaran awam tentang kepentingan melindungi spesies dan pengurusan pelepasan anak penyu ke laut yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kadar kematian anak penyu atau kecurian telur juga amat rendah pada tahun ini kerana kami memastikan hanya pemungut telur penyu berlesen dilantik Jabatan Perikanan Melaka untuk mengutip telur berkenaan," katanya.
Katanya hanya 10 pemungut telur penyu berlesen dilantik dan orang awam yang mengambil, memiliki atau makan telur berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
-- BERNAMA
#penyu karah #pokok merambong #pendaratan penyu #kawasan pantai
;