Pokok hujan-hujan usia 136 tahun di Taman Tasik Taiping mati
Sinar Harian
Oktober 1, 2021 08:15 MYT
Oktober 1, 2021 08:15 MYT
TAIPING: Sebatang pokok hujan-hujan berusia 136 tahun yang menjadi ikon bandar warisan di Taman Tasik Taiping di sini disahkan reput dan mati pada Khamis.
Majlis Perbandaran Taiping menerusi Facebooknya memaklumkan, pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya, samanea saman yang ditanam berhampiran jeti itu tumbang pada 20 Januari 2018 disebabkan kegagalan sistem akarnya.
"Akar utama yang berada kira-kira 1.5 meter dari kolar akar telah reput dengan anggaran rongga berdiameter sekitar 8 inci.
"Pokok ini telah sekian lama ditegang kuatkan oleh akar besar yang tumbuh ke arah parkir. Manakala sebahagian besar dari dahan-dahan utama serta batangnya pula tumbuh condong menghala ke arah jalan dan tasik," katanya.
Menurutnya, laporan pemeriksaan dan penilaian pokok warisan di Taman Tasik Taiping oleh Arboris bertauliah pada 2019 menjangkakan kekuatan dahan pokok yang masih hidup akan merosot.
"Dijangkakan kekuatan dahan yang masih hidup akan merosot dan mati beberapa bulan atau setahun lagi dan perlu dipantau segera.
"Tindakan memasang 'proping' dan merawat pokok juga dibuat seperti dicadangkan pihak Arboris," katanya.
Katanya, tindakan penanaman semula pokok hujan-hujan sebagai langkah penggantian pokok yang mati juga telah dilakukan sejak dua tahun lalu.
"Sebanyak tiga batang pokok telah ditanam di kawasan berhampiran lokasi asal pokok tumbang atau mati. Pokok yang mati ini akan dijadikan objek kayu ‘sculpture tree’ di Taman Tasik Taiping.
"Manakala, 'proping' sedia ada akan diguna semula pada pokok yang memerlukan seperti berhampiran kawasan tandas awam (tempat meletak kereta D)," katanya.
Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 dan Taman Tasik Taiping diiktiraf sebagai tapak warisan negara.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.