Pokok berusia 135 tahun di Taman Tasik Taiping tumbang
Abd Razak Mohd Ali
Februari 24, 2022 21:53 MYT
Februari 24, 2022 21:53 MYT
TAIPING: Sebatang pokok hujan-hujan (Samanea Saman) yang berusia 135 tahun di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping di sini, tumbang Selasa lalu.
Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, berkata punca utama pokok tersebut tumbang adalah ketidakseimbangan strukturnya yang telah condong, ditambah dengan ribut pada hari kejadian.
Katanya, bagi mengutamakan keselamatan awam, kawasan sekeliling pokok itu telah ditutup dengan pita keselamatan.
Menurutnya, orang awam juga dinasihatkan tidak melakukan apa-apa aktiviti di kawasan tersebut bagi mengelakkan kerosakan kekal kepada pokok yang tumbang.
“MPT akan memastikan pokok ini diselamatkan dengan kadar segera dan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khairul Amir berkata, kerja-kerja pemulihan pokok termasuk menegakkannya semula, dengan sebahagian dahan akan dipangkas serta bahagian akar serta tanah dirawat.
Menurutnya, pokok tersebut akan berada dalam pemantauan dan selenggaraan untuk tempoh 12 bulan sehingga ia pulih.
Katanya, sebagai langkah mengurangkan risiko pokok lain yang dalam keadaan serupa tumbang, MPT akan menyediakan sokongan penampan dalam masa terdekat selain melakukan rawatan akar.
Difahamkan, sebelum ini, empat batang pokok jenis sama yang ditanam sejak era kolonial juga telah tumbang.