Pokemon Go: 'Tunggu & lihat' sebelum keluar larangan untuk kakitangan awam bertugas

Mariah Ahmad
Ogos 9, 2016 13:51 MYT
ALI HAMSA: Saya tidak mengapa. Kita tunggu. Kita lihat dulu apakah impaknya. - Foto Astro AWANI/Mariah Ahmad
Kerajaan akan mengambil langkah 'tunggu dan lihat' sebelum mengeluarkan pekeliling larangan kepada kakitangan awam yang bermain aplikasi permainan augmented reality Pokemon Go semasa bertugas.
"Saya tidak mengapa. Kita tunggu. Kita lihat dulu apakah impaknya," jawab Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa secara ringkas ketika ditanya wartawan di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Produktiviti Sektor Awam di Ballroom Putrajaya, Hotel Marriot di sini.
Aplikasi permainan Pokemon Go boleh dimuat turun secara rasmi di Malaysia sejak 6 Ogos lalu, melalui Apps Store bagi peranti iOS dan Play Store bagi peranti Android.
Permainan ini turut mengundang kontroversi tersendiri selepas menyebabkan para pemainnya di seluruh dunia terlibat dengan pelbagai insiden yang membahayakan diri.
Antara kes yang dilaporkan adalah pemainnya seperti melanggar kereta polis dan membahayakan keselamatan, hinggalah menjadi kurang peka terhadap hal-hal yang lebih penting, seperti bermain Pokemon Go sewaktu isteri mahu bersalin.
Pemain Pokemon Go turut dilihat berada di beberapa kawasan sensitif seperti di tanah perkuburan dan tugu peringatan Hiroshima.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha sebelum ini berkata perlu ada had dikenakan pada permainan Pokemon Go agar institusi agama tidak tercemar dalam keasyikan masyarakat terhadap permainan itu.
Jakim turut menyatakan sokongan kepasa keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos 2016 yang tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dengan aplikasi permainan Pokemon Go atas pelbagai faktor yang membawa kepada kemudaratan.
#Ali Hamsa #iOS #Play Store #Pokemon GO
;