Pokemon Go: Polis Pahang nafi keluar saman terhadap pemandu

Bernama
Ogos 7, 2016 21:38 MYT
Laporan media hari ini mengatakan laporan itu ahli perniagaan berkenaan dikatakan sedang mengimbas karektor raksaksa digital itu di sepanjang laluan berkenaan sebelum perbuatannya disedari pihak polis. - Gambar fail
Polis Pahang hari ini menafikan ada mengeluarkan saman terhadap seorang peniaga kerana menggunakan telefon bimbit sambil bermain Pokemon Go di bandar ini pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata laporan sebuah akhbar tentang perkara itu adalah tidak benar.
"Sejurus selepas laporan berita tersebar kita telah melakukan semakan dan siasatan mendapati tiada saman yang dikeluarkan seperti yang dilaporkan.
"Pihak polis tidak tahu dari mana wartawan itu mendapat sumber berita berkenaan, malah beliau juga tidak ada menghubungi saya untuk pengesahan tentang cerita itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang peniaga disaman oleh pihak polis kerana menggunakan telefon bimbit sambil bermain Pokemon Go di bandar ini 11 pagi semalam yang kemudiannya berita tentang perkara itu dimuat naik oleh di laman-laman sosial.
Menurut laporan itu ahli perniagaan berkenaan dikatakan sedang mengimbas karektor raksaksa digital itu di sepanjang laluan berkenaan sebelum perbuatannya disedari pihak polis dan diberikan saman.
Mengulas tentang perkara itu, Mohd Noor berkata polis tidak pernah mengeluarkan saman sewenang-wenangnya jika pemandu kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana individu sekiranya menggunakan aplikasi telefon bimbit sambil memandu sama seperti kesalahan menggunakan telefon bimbit tanpa menggunakan peranti bebas tangan dan bukannya kerana Pokemon Go.
"Ini kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan jika individu yang terlibat asyik bermain permainan itu tanpa memberi tumpuan terhadap pemanduan," katanya.
#Mohd Noor Yusof Ali #Pokemon GO #Polis Pahang nafi #saman
;