Pokemon Go: Hormat pandangan mufti walaupun tidak setuju - Asyraf Wajdi
Astro Awani
Ogos 7, 2016 18:54 MYT
Ogos 7, 2016 18:54 MYT
Masyarakat terutamanya umat Islam dinasihat menghormati pandangan mufti dan institusi berkaitan berhubung fatwa meminta mereka menjauhi aplikasi permainan Pokemon Go atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata umat Islam tidak wajar meremehkan pandangan atau fatwa dikeluarkan itu terutama di media sosial walaupun mereka tidak bersetuju dengannya.
Beliau berkata pandangan itu dibuat setelah pihak berkenaan mengambil kira pelbagai aspek dan prinsip.
"Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan permainan Pokemon Go bukan dibuat secara semborono kerana ia melibatkan prinsip Islam dan penyelidikan secara holistik sebelum fatwa tersebut dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu 2016 di sini, hari ini.
Katanya lagi sebagai umat Islam, mereka yang terlibat perlu mempunyai cara yang lebih terhormat dalam menyatakan pendapat dan bukannya meremehkan sesuatu perkara seperti yang terjadi dalam isu ini di media sosial.
"Mufti telah memberikan pandangan dan hukum agama maka kita hormatlah ia walaupun ia tidak diwartakan sebagai fatwa dan tidak ada kuasa perundangan," katanya lagi.
Jumaat lepas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan berkata karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan.
Keputusan itu, katanya, hasil mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos.
Semalam Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata permainan Pokemon Go lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.
Kajian dibuat Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum ini juga menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi perkara positif.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong keputusan mesyuarat jawatankuasa perundingan Wilayah Persekutuan itu.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata keputusan tersebut adalah selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain yang telah membuktikan permainan itu menjadi penyebab insiden yang membahayakan sehingga meragut nyawa.
"Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, katanya, JAKIM menyeru umat Islam di negara ini agar menghindarkan diri dari permainan tersebut.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri tidak berhasrat mengharamkan permainan itu sekalipun jabatan mufti negeri mendapati permainan tersebut lebih banyak membawa unsur negatif dari positif.
Lim bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menyertai permainan itu kerana ia terlalu kompleks untuk orang berusia seperti beliau.
Beliau berkata pandangan mufti itu adalah dari perspektif agama, tetapi buat kerajaan negeri, permainan itu tidak menjadi masalah.