BARU-baru ini, saya menerima WhatsApp Sabri Yunus yang mengatakan jumlah pengikutnya di Instagram telah meningkat sehingga mencecah ribuan angka berikutan daripada kemuncak siaran siri drama TV beliau yang terbaharu, Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti. Memang luar biasa dan sememangnya drama ini sekarang ialah drama yang paling popular. Pok Ya ditunggu-tunggu oleh peminat drama TV. S.M. Zakir (seorang penulis yang disegani) siap mengisytiharkan supaya dia jangan diganggu semasa drama ini ditayangkan (siarannya bukan prime time tetapi pukul 11.00 hingga 12.00 tengah malam). Bagi S.M Zakir, drama ini ialah siri drama terbaik abad ini.

Siri ini lanjutan daripada meletupnya telefilem Pok Ya Cong Codei di saluran Astro Citra dan Mustika HD empat tahun lalu dan sekarang dilanjutkan dengan siri drama rantaian. Saya hanya sempat melihat Pok Ya Cong Codei yang prototaip, iaitu yang pertama dan saya sangat suka dengan drama hasil nukilan Sabri Yunus itu.

Tajuk pada drama ini bersumberkan hotel terkenal di tanah air, iaitu Hotel Concorde yang merupakan antara hotel teratas yang dikenali di kota raya Kuala Lumpur selain Hilton, Shangri-La dan Sheraton. Mahu-mahu lagi dalam tahun 1990-an. Sekarang, kita masih boleh menginap di Hotel Concorde di bandar Shah Alam. Pok Ya yang datang dari Kelantan pernah menginap di Hotel Concorde di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, hotel itu terletak berhampiran dengan Kampung Baru. Tetapi Pok Ya tidak pandai menyebut nama hotel itu dengan betul. Dia membunyikan fonetik ‘Concorde’ dengan cara sebutan-ejaan Melayu Kelantan. ‘Con’ menjadi ‘Cong’, ‘Corde’ menjadi dua bunyi, iaitu ‘co’ dan ‘dei’.

Saya percaya, Pok Ya bukan sahaja tidak tahu menyebut dengan betul nama hotel itu, malah dia tidak tahu makna perkataan ‘concorde’ itu, atau lebih tepat: ‘concord’. Perkataan Inggeris menggunakan ejaan lama; yang masih ada ‘e’ di hujung: seperti shop dengan ejaan lamanya, shoppe. Concord berasal daripada perkataan Yunani lama concordia (satu hati) dan apabila diinggeriskan, perkataan ini memberikan pengertian kerukunan atau persesuaian, atau juga keharmonian.

Pok Ya bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan. Di gugusan Kepulauan dan Semenanjung Melayu, ratusan bahasa dan ribuan loghat digunakan, malah dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi bahasa Melayu ialah lingua franca di situ. Definisi lingua franca dalam Kamus Dewan ialah bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat yang berlainan bahasa, iaitu bahasa induk yang diguna pakai selain mempunyai bahasa yang tersendiri. Di Irian Jaya sahaja terdapat hampir 90 bahasa dituturkan, belum mengira loghat yang ada.

Daripada definisinya, lingua franca bersifat meminjam, menokok tambah perkataan atau istilah-istilah asing daripada bahasa lain bagi dipergunakan lalu memperkaya kosa katanya. Begitu juga terjadi dengan bahasa Melayu; satu bahasa yang banyak mengambil perkataan daripada bahasa lain, terutama pada awalnya Sanskrit, Tamil, Arab, dan hendak-hendak lagi sekarang daripada Inggeris. Dan pengambilan ini masih berlaku, menunjukkan yang bahasa Melayu sebagai lingua franca yang masih hidup dan tumbuh.

Pada bulan Mac 2022 baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim telah menolak cadangan yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk  Seri Ismail Sabri Yaacob, agar bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi (baca: lingua franca) untuk Asia Tenggara. Nadiem Makarim dilantik menjadi Menteri Pendidihan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi pada 23 Oktober 2019. Saya tidak terkejut apabila mendengar berita itu tetapi berasa hairan dengan penolakan oleh sang menteri Nadiem. Perasaan yang sama saya rasai kala mendapat berita keputusan terlepasnya Pulau Batu Puteh pada Singapura (kala itu tahun 2008 saya bekerja di stesen TV Singapura) kerana ada terbaca di akhbar The Straits Times nama-nama yang dihantar mewakili negara Malaysia berbanding dengan nama-nama yang dihantar oleh kerajaan Singapura.

Kepercayaan atau tidak punya kepercayaan (dalam kes ini dari Indonesia) yang diberikan kini pada status bahasa Melayu pastinya bersebab. Bukannya mereka tidak tahu pada dasarnya yang bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu; diambil sebelum negara itu merdeka atas pertimbangan agar mengelakkan perbalahan – dengan mengambil bahasa yang bukan daripada bahasa Jawa atau bahasa Sunda. Bahasa Melayu yang berasal dari daerah Melayu-Riau berpusat di Melaka dilihat sebagai bahasa minoriti. Nahu bahasa Melayu juga lebih ringkas dan mudah untuk dikuasai daripada bahasa-bahasa yang ada di tanah Jawa. Dan lebih jelas, bahasa Melayu sejak awalnya lagi ialah lingua franca di gugusan Kepulauan dan Semenanjung Tanah Melayu. Saya dapat membayangkan Soekarno, Mohammad Hatta, D.N. Aidit atau Abdul Haris Nasution dan teman-teman lainnya di dalam dewan persidangan menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Belanda apabila berbincang.

Negara Brunei Darussalam telah terlebih dahulu mengambil bahasa yang digunakan di istana Kesultanan Melayu Melaka (iaitu bahasa Melayu-Riau) sebagai bahasa rasmi negara. Maka, pada tahun 1930 dengan terteranya “Sumpah Pemuda”, dengan rasmi dapatlah satu negara Hindia-Belanda yang kemudian dinamakan sebagai Republik Indonesia menjunjung satu bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu yang kemudian dinamakan sebagai bahasa Indonesia. Sumpah Pemuda ialah satu kumpulan persepakatan anak-anak muda, rentetan daripada pertemuan di Kongres Pemuda beberapa tahun sebelum yang bertujuan untuk memperpanjang semangat nasionalisme bangsa hingga peringkat kemerdekaan negara Indonesia.

Apabila dilihat pada susur masa semenjak Sumpah Pemuda, penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu di dua negara ini nampak tumbuh dengan baik. Di Indonesia oleh sebab program pembinaan negara (nation building) selepas merdeka diambil berat dan sangat serius, maka mekanisme dalam pelaksanaan menerapkan “bahasa rasmi baharu” ini ke seluruh pelosok negeri dilakukan dengan serta-merta, agresif dan efektif. Bukan sahaja demi satu bahasa itu digunakan sebagai alat senjata menyatukan kepelbagaian bahasa rakyat yang sedia ada, pelaksanaan ini juga menjadi kayu ukur terhadap komitmen penuh rakyat pada kecintaan negara. Salah satu langkah awal sistem pengajaran untuk bahasa “baharu” itu ialah pengejaan ditukar untuk bacaan tulis (tidak lagi ala Belanda) dan sebutan bunyi kata (fonetik) dibakukan, bererti, diseratakan dan diseragamkan. Abjad yang digunakan untuk tulisan dan bacaan ialah huruf roman, iaitu huruf rumi.

Di Malaysia, oleh sebab bahasa Melayu ialah bahasa asli tempatan, bahasa ini digunakan dalam perhubungan hidup seharian secara osmosis. Penekanan penuh tidak dikerah oleh kerajaan. Demografi yang terdapat di Malaysia dan di Indonesia bukan tidak ada persamaan, malah mempunyai berbagai kaum dan bangsa daripada orang tempatan dan imigran. Perbezaannya ialah kawasan Indonesia jauh lebih luas dengan bilangan penduduk yang jauh lebih ramai daripada Malaysia. Di Indonesia, Pancasila dipegang kuat atau boleh dikatakan kuat ditekankan oleh pemerintah kepada rakyat, tetapi Rukun Negara di Malaysia pada peringkat paling efektif dilihat sebagai salah satu kempen kerajaan semata-mata.

Mengambil sentimen resam merantau dalam Alam Melayu dan juga penghijrahan dari Kepulauan Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua, tidak hairanlah kebanyakan penduduk Melayu di Semenanjung mempunyai tali perhubungan persaudaraan di negeri-negeri seberang. Orang Melayu menerima pakai (toleran) pergerakan merantau atau penghijrahan tetap sebagai suatu kebiasaan dalam nasib badan dan digalakkan. Bagi orang Melayu, hal itu ialah suatu perkara yang diamalkan sejak zaman Nabi Ibrahim AS yang bergerak dari Ur (di Iraq) ke Palestin dan ke Mesir dan Semenanjung Arab. Atau contoh yang diberi oleh Nabi Muhammad SAW yang mencadangkan umatnya agar berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana tekanan di Mekah.

Pada hujung kurun ke-19, untuk menggali dan memerah hasil tanah di Semenanjung, penjajah Inggeris pula telah membawa dan menggalakkan penghijrahan orang-orang dari benua China dan India. Ingin saya bayangkan “pembukaan” (set up) sistem kawalan atau sistem pembenaran masuk di tempat-tempat kemasukan kala itu jika ada. Hingga suatu ketika sekitar tahun 1940-an, didapati populasi orang Cina melebihi penduduk Melayu tempatan dan hal ini yang menyebabkan penggalakan penghijrahan sukarela beramai-ramai dari Sumatera dan Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu. Sebelum kempen Chinese Diaspora, bangsa Cina yang berada di Tanah Melayu masih menggunakan bahasa-bahasa tempatan masing-masing sebelum mengambil bahasa Mandarin sebagai bahasa “rasmi” mereka.

Kita sedar bahawa bahasa Inggeris (lingua franca di Barat dan sekarang di dunia) yang berasal dari England diterima pakai di benua Amerika Utara. Dalam era sejarah moden, tidak ada catatan peperangan antara Malaysia dengan Indonesia seperti adanya peperangan antara Amerika Syarikat dengan England dan Perancis. Namun begitu, perhubungan Malaysia-Indonesia agak rumit. Perhubungan Malaysia dan Indonesia mempunyai perasaan curiga yang terpendam walaupun dikatakan hubungan mereka umpama persaudaraan adik-beradik. Hingga sekarang, pergerakan imigran yang tidak putus-putus dari Indonesia ke Malaysia, sama ada untuk mendapatkan kerja di ladang, di kilang atau pembantu rumah sebagai contoh, tetapi kesan trauma yang ditinggalkan oleh pemerintahan rejim Soekarno masih tidak hilang. Hingga sekarang, kecurigaan orang Indonesia (akibat Konfrontasi dan kempen Ganyang Malaysia) belum terhapus, seperti juga trauma orang Indonesia “takut dan tidak senang” (khuatir dengan tindakan gelap dan maut) daripada orang yang beruniformkan organisasi pemerintah. Akan tetapi, kedua-dua pihak mengakui yang mereka saudara serumpun.

Jika sepakat dapat diwujudkan (walau tidak dalam politik), mereka yang masih peduli tetap berharap agar kesepakatan “penyatuan” dalam bahasa dapat dicapai, sekurang-kurangnya daripada ejaan yang betul, iaitu ejaan yang sesuai dan sama. Langkah drastik ini dipersetujui oleh ahli bahasa di Malaysia dan Indonesia untuk menyelaraskan ejaan. Maka, pada lewat tahun 1960-an, diperkenalkan cara pengejaan yang baharu daripada apa yang telah dipelajari sejak di sekolah rendah; hilanglah e-tanda dalam penulisan kita, ‘h’ digugurkan pada tempat-tempat tertentu dan beberapa peraturan lain. Antara lain, mereka telah membega apa yang Pendeta Za’ba sudah terapkan dan bukukan. Mereka tidak sedar akan perlunya e-tanda pada kita kerana dengan tiada lagi e-tanda, hilanglah banyak perkataan Melayu bagi kosa kata dalam penulisan bahasa Melayu di Semenanjung.

Padahal, Pendeta Za’aba sudah meletakkan asas tatabahasa dan pengetahuan bahasa Melayu dari pelbagai segi dalam bentuk buku, baik dalam ejaan rumi mahupun jawi. Antara bukunya termasuklah Daftar Ejaan Melayu (1938), Pelita Bahasa Melayu I, II dan III, (1940–1949), Bahasa Melayu dengan Tulisannya (1958), dan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (1958). Khalid Salleh pernah berkata, “Za’ba dah betul.” Saya tidak pasti akan buku-buku ini masih ada lagi dalam pencetakan.

Walau bagaimanapun, bukanlah hal ini sahaja tanda untuk mereka tidak meyakini bahasa Melayu, tetapi hal itu boleh menjadi sebab-penyebab membawa padah bagi alasan mereka di Indonesia melihat lemahnya keupayaan pembawa dan pemakai bahasa Melayu, selain ragu-ragu dengan keupayaan bahasa Melayu itu sendiri. Mereka yang dimaksudkan di sini ialah kedua-dua pihak yang terlibat dengan tatabahasa Melayu yang baharu itu.

Tanda bukti kesuburan bahasa pula ada terhasil daripada bahan karya seni dalam bahasa itu, iaitu tulisan, seni persembahan dan nyanyian. Penulisan terawal diriwayatkan telah ada pada zaman Nabi Idris AS dan ia terus berkembang pesat, hingga ada berpendapat, salah satu faktor yang membantu Barat menjajah Timur ialah penulisan. Saya dapat bayangkan rakyat Melaka pada tahun 1511 berasa kagum, gerun dan khuatir apabila melihat dua kapal Portugis berlabuh di Selat Melaka bersedia untuk menyerang Melaka. Orang Melaka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang orang-orang itu. Apa yang mereka lihat ialah kegagahan kapal yang berlabuh. Informasi mereka terhad setakat pernah bersua muka kala orang-orang itu datang berdagang. Akan tetapi, apa yang orang Melaka tidak ketahui ialah, orang-orang itu datangnya dari negara Portugal, yakni negara termiskin di Eropah dan banyak mempunyai hutang negara yang tidak dapat dilunaskan. Hal ini demikian kerana tidak ada penulisan di Melaka tentang orang Portugis dan negaranya, tetapi banyak hal tentang Melaka telah dirakam dan dituliskan oleh orang-orang itu semasa berada di Melaka sebelum itu.

Sebenarnya, penulisan dalam Alam Melayu sejak zaman kegemilangan perdagangan dan Kesultanan Melayu Melaka bukan asing, tetapi malangnya, sebahagian besar khazanah tulisan kita sekarang berada dalam simpanan muzium dan perpustakaan di luar negara yang diangkut keluar. Ada antaranya merupakan saki-baki tulisan yang terselamat daripada kapal yang tenggelam di lautan berhampiran benua Afrika untuk dibawa balik ke negara penjajah kala itu. Perlahan-lahan kita mengumpul dan menerbitkan tulisan-tulisan yang ada dalam bentuk hikayat-hikayat lama. Pada tahun 2016, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan semula sekurang-kurang 20 tajuk dalam (genre) siri hikayat, selain menerbitkan karya-karya kontemporari.

Apabila memandang pada hasil tulisan kontemporari berbahasa Melayu, yang paling jelas, di sinilah kita akan dapat melihat taraf kreativiti novel kontemporari kita. Inilah yang menjadi kayu ukur penilaian kemajuan bahasa bagi mereka. Dan, hal ini juga digunakan untuk mengukur peningkatan bahasa Melayu melalui perbandingan karya-karya novel sezaman mereka. Hal yang dimaksudkan di sini ialah Indonesia. Ironinya, dalam era kecemerlangan novel kontemporari, kita hanya melihat kali terakhir novel Melayu ada memberi impak pada pembaca novel Melayu moden ialah sekitar tahun 1960-an, setelah munculnya beberapa novel Melayu yang berhasrat tinggi (ambitious) dan tebal yang kemudian disusuli oleh karya-karya yang seakan ringan dan nipis. Di sini, sudah pun terjawab keraguan mereka.

Bersambung 


* U-Wei Haji Saari ialah pengarah filem tersohor yang banyak mengadaptasi karya sastera kepada filem, seperti Kaki Bakar (1995), Jogho (1997) dan Hanyut (2012). Beliau pernah menghasilkan drama Wangi Jadi Saksi (DBP, 2010).

*Artikel asal disiarkan di Dewan Sastera Jendela DBP