POCA, Akta Hasutan, hukuman gantung mandatori akan diteliti semula - Muhyiddin
Dania Zainuddin
Mei 22, 2018 14:35 MYT
Mei 22, 2018 14:35 MYT
Kerajaan akan meneliti semula beberapa undang-undang termasuk Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), Akta Hasutan 1948 dan hukuman gantung mandatori.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah ini perlu dilaksanakan kerana ada undang-undang yang tidak lagi bersesuaian dengan lanskap hari ini dan perlu dimansuhkan.
“Kita mahu hapuskan undang-undang yang tidak sesuai, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan teliti semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
"Walaupun ia di bawah Menteri Komunikasi dan Multimedia, ia masih berkait rapat dengan kementerian saya,” katanya dalam satu sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini
Selain itu, Muhyiddin berkata, undang-undang lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan Langkah Khas (SOSMA), Akta Perhimpunan Aman 2012, dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), turut akan disemak semula.
#akta hasutan
#jenayah
#kaji semula
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#Muhyiddin Yassin
#POCA
#pota
#undang-undang