PNS sedia platform bantu usahawan setempat - Wan Junaidi
Bernama
September 23, 2020 22:35 MYT
September 23, 2020 22:35 MYT
Perbadanan Nasional (PNS) selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sentiasa membuka ruang kepada perniagaan industri francais yang berpotensi untuk dimajukan menerusi latihan dan konsultasi selainmenyediakan bantuan pembiayaan.
PNS menerusi Program BizFrancais yang dianjurkan di Sabah kali ini, memberi tumpuan terhadap perkembangan ekonomi mikro untuk dikembangkan ke peringkat lebih luas menerusi industri francais.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata program seumpama itu menjadi usaha sama yang positif bagi memperkasakan kedudukan usahawan setempat menerusi peningkatankesedaran mengenai industri francais.
Katanya industri francais mampu membantu usahawan untuk menaik taraf sosio-ekonomi khususnya melalui program Tranformasi Dalam Perniagaan (BIT) bagi memberi galakan kepada usahawan mengembangkan perniagaan mereka menerusi industri itu.
"Kerjasama antara MEDAC dan PNS membuktikan kementerian dan agensi mampu mewujudkan jaringan kerjasama, seterusnya melahirkan lebih banyak usahawan baharu.
"Usaha ini sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi terutamanya golongan sasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, beliau berucap pada Program BizFrancais bagi menyediakan platform untuk membantu usahawan, di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PNS Mohd Hilaluddin Abd Shukor dan Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Seri Mohammad Mantek.
Sementara itu, Mohd Hilaluddin berkata, program itu adalah inisiatif turun padang PNS untuk memperkenalkan perniagaan francais kepada golongan sasar secara lebih dekat.
Katanya, potensi industri francais tempatan masih luas untuk diteroka, justeru, usahawan mikro khususnya perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menyertai industri francais bagi mengembangkan perniagaan.
"BizFrancais dapat memberikan kemudahan kepada bakal usahawan meningkatkan sumber pendapatan dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi industri francais selepas pandemik COVID-19.
"Program tahunan ini juga menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan francais dan skim pembiayaan serta latihan yang komprehensif untuk bakal usahawan," katanya.
Katanya, program sehari itu membabitkan penyertaan hampir 200 peserta terdiri daripada usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat mengenai ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais serta bantuan yang ditawarkan PNS.
Menurutnya, PNS menganjurkan tujuh program dalam siri jelajah BizFrancais di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk mempromosi perniagaan francais secara menyeluruh.
"Lebih RM6 juta pembiayaan dikeluarkan bagi tujuh program BizFrancais pada tahun lepas bagi membantu usahawan francais.
"Manakala, lebih RM1 juta daripadanya adalah daripada program BizFrancais Sabah dan jumlah pembiayaan diluluskan PNS pada tahun lepas untuk usahawan di negeri ini adalah sebanyak RM3 juta,"katanya.
Katanya, selain industri makanan dan minuman, PNS turut memberi keutamaan kepada sektor lain termasuk pelancongan (homestay), kecantikan, pendidikan awal kanak-kanak dan veterinar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif rantaian makanan segera 1901, Mohairi Mohamad berkata program seperti itu menjadi platform terbaik kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dan menceburi industri francais.
"Program BizFrancais menandakan satu lagi inisiatif strategik untuk membantu usahawan tempatan menjana pertumbuhan ekonomi selain perkongsian maklumat dan latihan yang berguna dalam meningkatkanpendapatan perniagaan," katanya.
- BERNAMA