PNB umum agihan pendapatan ASB 5.50 sen, bonus 0.25 sen
Harits Asyraf Hasnan
Disember 24, 2024 11:25 MYT
Disember 24, 2024 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.50 sen seunit dengan bonus sebanyak 0.25 sen seunit.
Jumlah agihan dana utama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember itu ialah sebanyak RM10.1 bilion yang akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit.
Ia sekali gus menjadikan ia sebagai agihan dividen yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun yang lalu.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
"Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
"Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit," memetik kenyataan tersebut.
Menurut PNB, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 3.3 peratus pada suku sama tahun lalu, dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang dengan ketara, dan pengukuhan ringgit yang meningkat 14.9 peratus dari awal tahun sehingga November 2024.
Susulan daripada itu, Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.0 peratus selepas berhadapan sedekad prestasi lemah dengan 10 tahun KLCI sehingga 31 Disember 2023 sebanyak -22.1 peratus.
"Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP)," tambah Raja Arshad.