PNB: Lebih 200,000 akaun baharu sepanjang 2020

Hasimi Muhamad
Disember 23, 2020 13:37 MYT
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, statistik itu menjadikan jumlah keseluruhan akaun adalah sebanyak 14.5 juta, dengan 12.2 juta pemegang akaun unit.
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB merekodkan lebih 200,000 akaun baharu yang didaftarkan sepanjang tahun ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, statistik itu menjadikan jumlah keseluruhan akaun adalah sebanyak 14.5 juta, dengan 12.2 juta pemegang akaun unit.
BACA: PNB umum dividen ASB 4.25 sen, ehsan 0.75 sen
Selain itu, tambah beliau PNB terus memberikan pulangan mampan kepada para pemegang unit, dengan mencatatkan jumlah pembayaran sebanyak RM11.2 bilion merentasi semua dana bagi 2020.
“Meskipun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar, Unit Di Bawah Pengurusan (AUM) terus berkembang 3.4 peratus (meningkat) kepada 263.2 bilion unit.
“Kami juga mengalu-alukan pemegang akaun baharu pada tahun ini seramai 200,000 di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan 14.5 juta pemegang akaun,” katanya dalam sidang media pengumuman agihan pendapatan ASB secara maya, di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
BACA: Dividen ASN 2.02 sen
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zulqarnain turut berkongsi tiga pencapaian utama PNB sepanjang tahun ini.
Ia termasuk, katanya PNB terus membuat kemajuan yang baik dalam kepelbagaian portfolio, menyelaraskan semula pelaburan secara strategik dari segi geografi serta kelas aset untuk mencapai matlamat pelaburan.
“Pendedahan global agregat PNB telah meningkat kepada 11.9 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus pada 2019, dengan sumbangan pendapatan yang lebih besar dari aset pelaburan globalnya.
“Kedua, prestasi kewangan PNB tetap berdaya tahan di sebalik lanskap yang mencabar. Kami dapat meningkatkan AUM kami secara berterusan kepada lebih daripada RM320 bilion, yang mencerminkan kepercayaan berterusan pemegang unit kami.
“Prestasi pengagihan pendapatan kami juga kekal kompetitif, mengatasi penanda aras dana masing-masing.
“PNB terus meningkatkan usaha memperkaya dan meningkatkan pengalaman pemegang unit dan memberikan nilai kepada mereka melalui rangkaian penawaran dan perkhidmatan produk baharu,” jelas beliau lagi.
#Zeti Akhtar Aziz #PNB #ekonomi #ASNB #Dividen ASB
;