PN sokong penuh Belanjawan 2021, seru semua pihak dukung titah Agong

Fareez Azman
November 10, 2020 13:15 MYT
Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas.
KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) menzahirkan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz minggu lalu.
Katanya, ia merupakan kesinambungan empat pakej ransangan dan pemulihan ekonomi yang diumumkan Kerajaan PN sebelum ini, bernilai RM305 bilion keseluruhannya.
"Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
"Ia merangkumi lebih RM4.2 bilion untuk mengurangkan beban rakyat, lebih RM4 bilion kepada barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 dan RM3 bilion untuk menjana 500,000 pekerjaan.
"Kesemua ini adalah manifestasi komitmen serta keprihatin Kerajaan PN dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, terus terbela dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.
"Sehubungan itu, amatlah wajar agar kesemua pihak mendukung titah Yang di-Pertuan Agong agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar buat negara," kata PN dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Kerajaan PN tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
"Sehubungan itu, gandingan bahu setiap pihak amat penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama," jelas kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Abdul Hadi Awang #PPBM #PAS #SAPP #STAR #Kenyataan Media Perikatan Nasional #kerajaan PN #Belanjawan 2021 #Menteri Kewangan
;