PN kecewa Speaker 'mungkir janji', tidak beri ruang bangkit usul tergempar

Ridauddin Daud
September 11, 2023 14:18 MYT
Shahidan mendakwa, Speaker memungkiri janji untuk memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayhsal untuk bercakap mengenai usul tersebut yang ditolak. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Selepas tiada ruang untuk membangkitkan usul tergempar dalam Dewan Rakyat, Perikatan Nasional (PN) mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ‘menipu’ mereka.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau) berkata, Speaker memungkiri janji untuk memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN- Machang) untuk bercakap mengenai usul tersebut yang ditolak.
Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen PN kerana Johari sebelum itu, memberi jaminan untuk memberikan ruang berkenaan kepada Wan Ahmad Fayhsal.
Menurut Johari, ruang itu akan diberikan selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitupun, Johari tidak memberi ruang tersebut dan bertindak menangguhkan sidang khas Dewan Rakyat sebaik sahaja PM Anwar selesai membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Speaker mungkir janji. Tak tak sangka di Dewan Rakyat, di dewan yang mulia, dengan seluruh rakyat Malaysia menonton bahawa kami telah diberi peluang cakap tentang usul 18 (1), tiba-tiba kami tak dibenarkan.
“Kami juga tidak diberitahu sama ada esok boleh bawa atau tidak.
“Tapi yang penting, pusingan pertama ini rakyat melihat bahawa selepas pembentangan, kerajaan berbohong secara terbuka kepada rakyat yang tertunggu-tunggu untuk kami bawa usul kes Timbalan Perdana Menteri kerana kami tak dibenarkan bahas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin selepas selesai pembentangan oleh Perdana Menteri.
Notis usul tergempar yang dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
Ia adalah bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menyatakan rasa kecewa dan mendakwa tindakan Johari itu adalah kerana mendapat arahan baharu.
"Kami nak tanya apa yang nak takut dan nak disorokkan? Apa yang kebal sangat untuk kita bahas perkara ini? Ia melibatkan kepentingan ramai dan keadilan di negara kita.
"Kami dah ikut peraturan (tunggu sehingga Anwar habis bentang) tapi malangnya Speaker mungkir janji," katanya.
#Dewan Rakyat #Zahid Hamidi #usul tergempar #Speaker mungkir janji
;