PN guna logo asing? Sambutan Hari Kebangsaan tak sepatutnya bersifat politikal - Fahmi
Hasimi Muhamad
Ogos 19, 2023 21:01 MYT
Ogos 19, 2023 21:01 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meneliti laporan kemungkinan empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza dengan peringkat Persekutuan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata sambutan Bulan Kebangsaan sepatutnya tidak bersifat politikal dan ia disambut secara nasional.
Jelas beliau, jika berlaku perbezaan sedemikian ia akan mewujudkan satu suasana yang kurang bersatu padu.
"Jadi saya minta supaya perkara ini diteliti, dan kita ingin bersatu padu.
"Ketepikan (perbezaan politik)... masa untuk berpolitik itu telah tamat dengan selesaikan enam PRN (Pilihan Raya Negeri) baru-baru ini.
"Memang kita ada dua PRK (Pilihan Raya Kecil) atau tiga PRK akan datang tetapi itu bersifat kecil," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids di sini pada Sabtu.
Hari ini media melaporkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah gabungan itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.
Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.
Sebelum ini, Fahmi mengumumkan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata masa untuk berpolitik perlu diketepikan sebaliknya fokus ketika ini adalah untuk membangunkan negara.
"Kita sebelum ini angkat bendera parti, sekarang kita ketepikan dan angkat bendera Malaysia.
"Tak mahu ada faham politik. Kita fokus membangunkan Malaysia, bersatu padu dan (kalau ada) agenda lain kita ketepikan sementara waktu dan tunggu empat tahun lagi," katanya.
#PN guna logo berbeza Hari Kebangsaan
#Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia
#Fahmi Fadzil
#Malaysia Madani