PN gesa kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP bersasar untuk golongan memerlukan
Umavathi Ramayah
Februari 27, 2023 16:51 MYT
Februari 27, 2023 16:51 MYT
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mencari mekanisme yang sesuai bagi membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan yang memerlukan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengeluaran secara bersasar itu dapat membantu mereka yang benar-benar layak dan memerlukan dapat meneruskan kelangsungan hidup.
"Ada pencarum yang mencarum KWSP secara suka rela...sebagai contoh sebelum pendemik dia ada kedai dan perniagaannya maju. Dia buat simpanan (KWSP) dan dia beli rumah, namun selepas tiga tahun semasa pandemik, pendapatan dia sudah berbeza berbanding zaman dia mencarum.
"Sekarang dia minta untuk keluarkan duit sebab sudah enam bulan tak bayar hutang rumah dan bank hendak lelong rumahnya. Jika kita tidak bantu orang seperti ini, apa yang akan terjadi?
"Rumahnya akan dilelong dan apabila dia hendak beli semula aset itu setahun atau dua tahun akan datang, saya rasa amat susah sekali. Sebab tu saya minta sangat kerajaan untuk mencari mekanisme untuk tujuan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.
Pada masa sama, Hamzah turut meminta kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, mereka hanya menerima pencen RM500 sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan pada 2013.
Ahli Parlimen Larut itu turut mencadangkan penubuhan Jabatan Warga Emas seiring Malaysia menuju ke arah negara menua, yang membolehkan golongan berkenaan menyertai tenaga kerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
"Kalau boleh kita gunakan lagi mereka sebagai tenaga kerja dan cara membayarnya, tak payah ikut gaji minima tapi menggunakan model baharu,” katanya