PN beri maklum balas positif beberapa inisiatif Belanjawan 2025

Bernama
Oktober 21, 2024 18:50 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata antaranya cadangan memberikan bantuan kepada peniaga yang akan menggunakan e-Invois dalam transaksi perniagaan bermula 1 Julai tahun depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini memberikan maklum balas positif terhadap beberapa inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata antaranya cadangan memberikan bantuan kepada peniaga yang akan menggunakan e-Invois dalam transaksi perniagaan bermula 1 Julai tahun depan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata ketika ini, 90 peratus perniagaan adalah terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang disifatkan sebagai nadi ekonomi negara.
"Kita sambut baik cadangan kerajaan memberi bantuan kepada peniaga-peniaga yang akan guna e-Invois dalam transaksi perniagaan, banyak insentif bantuan akan diberikan, bagus kita sokong," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, kerajaan bercadang agar perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dan dipercepat untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Hamzah berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bermula Februari 2025 juga adalah satu langkah yang dipersetujui pihaknya namun beliau meminta kerajaan mengkaji semula penetapan tempoh penguatkuasaan pelaksanaannya untuk memberi peluang kepada PKS membuat penyesuaian dan persediaan.
"Kami setuju pelaksanaan gaji minimum ini tetapi kita mohon penguatkuasaan pelaksanaannya ditangguhkan bagi sektor tertentu kerana jika dibuat secara penuh, kita bimbang golongan PKS akan menjadi kelompok paling terjejas," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga boleh mempertimbang pemberian subsidi upah kepada majikan dalam pelaksanaan gaji minimum memandangkan kos buruh agak besar yang menyumbang kepada peningkatan kos operasi selain utiliti, bahan mentah dan pengangkutan.
Hamzah juga berkata sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 terbaik Indeks Persepsi Rasuah dalam tempoh 10 tahun dilihat sebagai sesuatu yang baik.
Beliau berkata ini kerana kedudukan itu akan mempengaruhi kepercayaan antarabangsa terhadap ketelusan serta akauntabiliti kerajaan dan bukan hanya memberi impak kepada ekonomi tetapi juga membawa manfaat kepada kesejahteraan sosial serta politik negara.
-- BERNAMA
#Belanjawan2025 #Perikatan Nasional #PN #Anwar Ibrahim
;