PMUM, pensyarah beri solidariti penuh kepada UM8

Mariah Ahmad
Disember 12, 2014 14:54 MYT
PMUM juga tampil memberikan kritikan membina yang menuntut perubahan terhadap sistem kehakiman primitif yang mengadili mahasiswa dan tidak berasaskan keadilan semula jadi. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sesi 2014/2015 menyatakan sokongan penuh terhadap lapan mahasiswa (UM8) yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan pada 27 Oktober.
Presiden PMUM, Mohd Ammar Atan berkata PMUM berdiri teguh menjunjung tiga prinsip utama dalam perjuangan untuk menuntut keadilan UM8.
"Perjuangan kami tidak didasari oleh ideologi kepartian mahupun kepentingan sendiri tetapi menjunjung prinsip kebebasan akademik, autonomi pelajar dan nilai-nilai keperlembagaan.
"Bergerak berlandaskan tiga prinsip utama ini memungkinkan PMUM memperjuangkan nasib mahasiswa atas dasar prinsip dan bukan kerana pengongkongan ideologi sempit yang tidak berhaluan," tambahnya dalam satu sidang media di Kompleks Perdana Siswa, UM di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya cuba menghantar memorandum "Memorandum kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah Berkenaan Isu UM8" selepas sidang media pagi tadi namun gagal.
Presiden PPUM, Mohd Ammar Atan (kanan) memegang "Memorandum kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah Berkenaan Isu UM8 - Foto Astro AWANI/Mariah Ahmad
Mohd Ammar berkata mereka telah menghantar memorandum yang sama kepada Naib Canselor UM, Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin.
Dalam masa sama, beliau berkata PMUM juga tampil untuk memberikan kritikan membina dengan menuntut perubahan terhadap sistem kehakiman primitif yang mengadili mahasiswa dan tidak menepati piawaian pengadilan berdasarkan prinsip-prinsip keadilan semula jadi (natural justice).
Sementara itu, Timbalan Presiden PMUM Teh Wei Loon berkata, beliau tetap memberi sokongan penuh kepada UM8 meskipun berlainan bangsa.
"Bagi saya, bangsa bukan satu isu. Kami sebagai mahasiswa selalu ditentang apabila kami menyuarakan pendapat kami tidak kiralah kami bangsa apa sekalipun.
"Jadi, saya menyeru kepada semua mahasiswa UM untuk terus mengambil berat tentang isu ini dan saya berharap kami mendapat respon positif daripada Naib Canselor kami mengenai memorandum yang telah kami hantar tadi," tambah Teh Wei.
Selain itu, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM, Lee Hwok Aun berkata, tindakan mahasiswa 'occupy' di hadapan pintu masuk UM adalah simbolik.
"Saya menghormati tindakan pelajar-pelajar ini yang menyokong UM8. Apa yang mereka buat ini adalah berkait dengan kebebasan akademik dan 'Occupy UM' ini dapat memberi mesej kepada rakyat Malaysia di mana kebebasan bersuara ini adalah isu untuk semua orang," katanya.
#lapan mahasiswa #Mohd Ammar Atan #Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya #PMUM #Presiden PMUM #sesi 2014/2015 #UM8
;