PMO diminta beri penjelasan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

Astro Awani
Mac 26, 2023 11:45 MYT
Anwar ketika menunaikan umrah bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Luar dan Menteri Komunikasi dan Digital. - Foto Twitter/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) diminta untuk memberikan penjelasan mengenai objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, apa yang menjadi kepentingan adalah penjelasan mengenai pencapaian yang terhasil daripada lawatan bersejarah tersebut.
Jelas Mohd Syahir, secara umumnya, terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang mempunyai objektif, sambutan dan aturan tersendiri.
Tambahnya, bagi sesebuah lawatan rasmi, objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin, sambutannya penuh protokol, kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.
"Memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023, 'Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam'.
"Namun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut Mohd Syahir menjelaskan, bagi sesebuah lawatan perniagaan pula objektifnya adalah untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.
"Laporan menyatakan pertemuan dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi.
"Manakala bagi sesebuah lawatan umrah, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.
"Alhamdulillah, PMX berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isteri, Menteri Luar dan Menteri Komunikasi Malaysia. Semoga beroleh umrah yang mabrur," katanya.
#PMO #Anwar Ibrahim #lawatan #Arab Saudi
;