PMC akan dilantik untuk percepatkan projek Pan Borneo - Fadillah
Bernama
Disember 19, 2020 19:04 MYT
Disember 19, 2020 19:04 MYT
KUCHING: Satu syarikat Perunding Pengurusan Projek (PMC) akan dilantik tidak lama lagi sebagai satu pendekatan untuk mempercepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo di sebelah Sarawak yang tertangguh berikutan pandemik COVID-19 dan pertukaran kerajaan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.
Beliau berkata PMC akan membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memantau projek itu, selain daripada melakukan proses penentusahan dan lain-lain tugas berkaitan yang mampu mempercepatkan pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 786.41km, melibatkan 12 pakej kerja yang setakat ini siap kira-kira 51 peratus.
"Diharap (pengumuman pelantikan itu) menjelang Januari tahun depan. Ia (pelantikan) masih belum lagi diputuskan. Kami masih menunggu MOF (Kementerian Kewangan ) untuk memutuskannya," kata beliau selepas menghadiri satu perjumpaan dengan editor media Sarawak di sini.
Menurut beliau, rancangan melantik PMC telah diberikan justifikasi kerana JKR Sarawak tidak akan terdaya untuk mengendalikan beban kerja yang perlu diselesaikan mereka untuk projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Beliau berharap pelantikan itu akan mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan dan mencapai 70 peratus siap menjelang akhir tahun hadapan.
Sementara itu Fadilah berkata Kementerian Kerja Raya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggalakkan guna pakai konsep Model Maklumat Bangunan (BIM) dalam menghasilkan pelan bangunan.
Walaupun terdapat hasrat untuk mewajibkan konsep BIM digunakan dalam penghantaran pelan bangunan di masa hadapan, beliau berkata ia akan mengambil masa kerana bilangan arkitek yang benar-benar layak masih belum mencukupi.
Apa yang kami lakukan sekarang di Sarawak, kami bekerjasama rapat dengan Swinburne University of Technology di sini bersama CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) untuk mewujudkan sebuah pusat BIM (di universiti itu). Sebuah lagi di CIDB Sarawak, ibu pejabat CIDB dan beberapa tempat lain untuk melatih golongan profesional dan mereka yang berminat," katanya.
-- BERNAMA
#PMC
#Pan Borneo
#Sarawak
#Menteri Kanan Kerja Raya
#Fadillah Yusof
#JKR
#projek
#MOF
#Kementerian Kewangan
#percepatkan projek