PM ziarah Menteri Agama terima rawatan di Hospital Putrajaya

Bernama
Mac 29, 2024 20:29 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang menerima rawatan susulan pembedahan kecil di Hospital Putrajaya. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang menerima rawatan susulan pembedahan kecil di Hospital Putrajaya.
Menerusi hantaran di laman Facebook dan X (Twitter) beserta dua keping gambar dikongsikan hari ini, Anwar berkata Mohd Naim baharu sahaja menjalani prosedur pembedahan kecil membuang kelenjar air liur yang mengandungi batu karang.
"Alhamdulillah, keadaan beliau beransur pulih dan saya doakan agar beliau lekas sembuh, insya-Allah," katanya.
Mohd Na'im menerusi hantaran di laman Facebook dan X (Twitter) pula mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri yang menziarahi beliau petang ini.
"Terima kasih kerana telah mendoakan kesembuhan buat saya. Semoga sedikit masa lagi, saya akan bertugas semula seperti biasa di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #ziarah #Menteri Agama #Mohd Na'im Mokhtar #hospital putrajaya
;