PM zahir ucapan takziah atas pemergian Abdul Wahab
Bernama
Januari 11, 2022 00:33 MYT
Januari 11, 2022 00:33 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali yang meninggal dunia pada 5.42 petang tadi.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh," kongsi Perdana Menteri dalam 'Facebook story' beliau malam ini.
Abdul Wahab, 61, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, dipercayai akibat kanser darah.
Berita pemergian beliau disahkan oleh wakil Pejabat Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan ringkas di aplikasi WhatsApp kepada media hari ini.
Abdul Wahab, yang bersara pilihan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Jun 2006, meninggalkan seorang isteri, dua anak perempuan serta sepasang cucu.
Sepanjang kerjayanya sebagai setiausaha akhbar, Allahyarham pernah berkhidmat untuk tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob pada 1995, Datuk Seri Adnan Yaakob bermula 1999 disusuli Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dari tahun 2018 hingga kini.
-- BERNAMA