PM zahir terima kasih atas ucapan, doa sempena hari lahir ke-62
Bernama
Januari 18, 2022 00:23 MYT
Januari 18, 2022 00:23 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa sempena ulang tahun kelahirannya ke-62 hari ini.
"Terima kasih juga kepada semua yang memberikan ucapan, doa dan sebagainya. Saya sangat menghargainya," katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya malam ini.
Sambil menyertakan gambar isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan cucunya, Jeanelle Nika Mandagie bersama kek hari jadi, Perdana Menteri berkata anak-anaknya yang membuat persiapan bagi meraikan ulang tahun kelahirannya itu.
Dalam hantaran tersebut, Ismail Sabri juga mengimbas kenangan ketika kecil bahawa beliau jarang menyambut ulang tahun kelahirannya, namun apabila telah mempunyai anak, setiap tahun beliau akan meraikan hari jadi anak-anaknya.
"Walau sibuk macam mana pun saya tetap akan kosongkan jadual untuk mereka, daripada kecil sampailah dah besar panjang semua.
"Bila saya dah makin tua, anak dah makin besar mereka pula yang sentiasa tak sabar 'celebrate birthday' (sambut hari lahir) saya dan isteri. Alhamdulillah sebagai 'parents' (ibu bapa), saya rasa sangat dihargai," tulisnya.
Ismail Sabri dilahirkan pada 18 Jan 1960 di Temerloh, Pahang.
-- BERNAMA