PM zahir takziah pemergian Ketua Pengarang Malay Mail

Nickyson Nyambar
Mei 14, 2021 12:28 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan takziah kepada mendiang Datuk Wong Sai Wan di laman Facebooknya pada Jumaat. -Gambar Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan.
Beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang mentor yang hebat bagi ramai wartawan dahulu dan sekarang selain turut dikenali atas kebaikan dan sifat rendah dirinya.
"Datuk Wong Sai Wan yang telah saya kenali untuk bertahun lamanya merupakan lambang kewartawanan berkualiti, dia akan dirindui oleh semua.
"Ingatan dan doa saya buat keluarga mendiang ketika tempoh sukar ini," zahirnya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya pada Jumaat.
Sai Wan, 59, meninggal dunia pada jam 5 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.
Beliau sebelum itu dikatakan telah dibawa ke hospital selepas mengadu berasa tidak selesa dan sihat.
Memetik laporan Malay Mail, mendiang dikatakan telah mengalami kegagalan jantung.
Mendiang merupakan seorang wartawan veteran yang memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada 1980-an.
Beliau pernah menjadi koresponden di Hong Kong sebelum menyandang jawatan pengarang eksekutif dan kemudiannya dilantik sebagai pengarang Malay Mail.
#wartawan veteran #Ketua Pengarang Malay Mail #Datuk Wong Sai Wan #Perdana Menteri zahir takziah #Tan Sri Muhyiddin Yassin