PM yakin Hospitaliti Malaysia bawa kejayaan penganjuran APEC

Fareez Azman
Januari 1, 2020 08:00 MYT
Dr Mahathir, Dr Wan Azizah dan Mohamaddin ketika menyambut Tahun Baru 2020 di Dataran Merdeka malam tadi. Foto Astro AWANI
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah yang baik bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 pada tahun ini.
Ujarnya, langkah menerapkan elemen Hospitaliti Malaysia akan membawa kepada kejayaan penganjuran persidangan yang bakal dihadiri 16,000 delegasi seluruh dunia itu.
"Kita juga beruntung kerana pada tahun 2020 negara kita telah dipilih sebagai tuan rumah untuk APEC 2020 dengan tema 'Optimising Human Potential Towards a Future of Shared Prosperity' (Mengoptimumkan Potensi Insan ke Arah Masa Depan Kemakmuran Bersama).
"Saya yakin kita berupaya menjadi penganjur yang baik terutama dalam apa yang kita gelar sebagai Hospitaliti Malaysia atau Malaysian Hospitality," katanya ketika berucap sempena sambutan Tahun Baharu 2020 di Dataran Merdeka malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.
BACA: Serah jawatan PM: Tidak akan berlaku sebelum APEC 2020 - Tun Mahathir
BACA: Perspektif Wawasan 2020 antara tunjang semasa APEC 2020
APEC 2020 bakal berlangsung sepanjang tahun ini dengan beberapa siri pertemuan dan mesyuarat utama dijadual diadakan di Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kota Kinabalu.
Dijangkakan, lebih 120 mesyuarat dijalankan sepanjang APEC 2020 berlangsung, bertujuan membincangkan pelbagai perkara mengenai pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
#APEC 2020 #Dataran Merdeka #ekonomi #Hospitaliti Malaysia #Mahathir Mohamad #Malaysia #Malaysian Hospitality #pelancongan #penganjur #tahun baru #tahun melawat malaysia #tuan rumah #Wan Azizah Wan Ismail
;