PM umum zon keselamatan khas lindungi Sabah
Astro Awani
Mac 7, 2013 16:14 MYT
Mac 7, 2013 16:14 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.
Kawasan itu merangkumi daerah Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.
Kata Perdana Menteri, keputusan berkenaan telah dipersetujui oleh kabinet dalam mesyuaratnya semalam.
" Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa meskipun operasi (terhadap kumpulan) ini akan berakhir tetapi soal keselamatan dan kedaulatan Sabah akan kita pertahankan," katanya dalam satu sidang media di Felda Sahabat 16, dekat Lahad Datu.
Jelas Najib, kabinet juga bersetuju untuk menambah kekuatan pasukan keselamatan sedia ada dengan mengerahkan lima batalion tentera dan polis ke zon khas itu.
Operasi kawalan keseluruhan zon berkenaan akan berpusat di Lahad Datu. Pasukan keselamatan yang terlibat pula akan melapor langsung kepada Ketua Menteri Sabah.
Najib hari ini meninjau sendiri pelaksanaan Operasi Daulat yang dilancarkan sejak Selasa lalu.
Beliau sebelum itu singgah di Tawau untuk mengadakan pertemuan dengan wakil masyarakat Suluk.
Pada pertemuan tersebut, pemimpin masyarakat Suluk itu berikrar taat setia kepada negara dan tidak akan membantu kumpulan penceroboh pengikut waris Kesultanan Sulu.
Mereka juga mengutuk tindakan pencerobohan itu dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan pusat dan negeri.